Isnin, 21 Oktober 2019 | 11:29pm
PEMAIN perseorangan Kuala Lumpur, Muhammad Fazriq Razif. NSTP/Adzlan Sidek

Razif serah anak buat keputusan

KUALA LUMPUR: Datuk Razif Sidek menyerahkan kepada anaknya, Muhd Fazriq untuk membuat keputusan sama ada ingin bermain dalam acara perseorangan ataupun beregu.

"Saya boleh berikan pandangan tetapi akhirnya dia yang menentukan masa depannya. Saya tidak boleh terlalu campur tangan kerana bimbang saya pula akan dipersalahkan sekiranya apa-apa yang berlaku.

"Sekiranya dia memilih untuk bermain acara beregu, saya boleh bantu dan jika dia membuat keputusan bermain perseorangan, bapa saudaranya ada, Datuk Misbun Sidek (ketua jurulatih lelaki negara)," kata Razif yang juga pemenang pingat gangsa Olimpik Barcelona 1992 bersama adiknya, Datuk Seri Jalani Sidek dalam acara beregu lelaki.

BH Sukan semalam melaporkan, bekas Pengarah Prestasi Tinggi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk James Selvaraj berkata pemain berusia 15 tahun itu Mohd Fazriq Razif lebih sesuai bermain acara beregu berbanding perseorangan.

Malah, beliau turut merasakan sudah tiba masanya untuk Fazriq membuat keputusan bagi memilih acara mana yang diinginkannya.

Razif berkata beliau turut sependapat dengan James tetapi meminta anaknya diberikan tempoh sekurang-kurangnya sehingga hujung tahun ini bagi menentukan masa depan kerjayanya.

"Memang saya sendiri lihat yang dia lebih baik bermain dalam acara beregu. Masalahnya, jika dia memilih acara beregu siapa yang akan menjadi pasangannya nanti kerana pasangannya ketika ini Justin Hoh Shou Wei turut bermain dalam acara perseorangan.

"Saya lihat, kedua-dua pemain ini jika digandingkan mereka memang bagus biarpun tidak menjalani latihan bersama dengan kerap. Pencapaian mereka dalam acara beregu lebih baik berbanding perseorangan.

"Setakat ini, Justin adalah pasangan terbaik buat Fazriq. Jadi, biarlah mereka buat keputusan sendiri dan selepas itu kita boleh duduk berbincang bagi mencari jalan terbaik untuk membantu mereka," kata Razif.

Berita Harian X