Rabu, 30 Oktober 2019 | 8:16pm
BEREGU lelaki negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei. NSTP/Aziah Azmee

Nur Izzuddin-Sze Fei mara, 3 perseorangan tersingkir

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei mengesahkan tempat ke pusingan kedua Terbuka Macau, hari ini.

Kejayaan itu hadir selepas pasangan ke-28 dunia itu menundukkan Lam Wai Lok-Li Kuen Hon dari Hong Kong 21-14, 21-17 pada aksi pusingan pertama.

Mereka akan berdepan pemenang perlawanan antara gandingan Korea Selatan, Na Sung Seung-Wang Chandengan Lee Sheng Mu-Lin Yong Sheng bagi perebutan tempat ke suku akhir, esok.

Sementara itu, tiga pemain perseorangan lelaki harapan negara, Aidil Sholeh Ali Sadikin, Cheam June Wei dan Soong Joo Ven ditunjukkan jalan keluar di pusingan pertama Terbuka Macau, hari ini.

Bagaimanapun, Aidil berjaya memberi tentangan sengit sebelum tunduk di tangan lawan berpengalaman, Brice Leverdez dari Perancis 13-21, 21-14, 10-21.

"Tahap permainan saya dengan Leverdez tidak jauh beza cuma dia lebih berpengalaman. Hari ini, saya banyak melakukan kesilapan mudah.

"Perlawanan ini memberikan pengajaran berguna buat saya. Saya belajar untuk lebih banyak bersabar dalam permainan saya," kata pemain ranking ke-190 dunia itu kepada BH Sukan.

Joo Ven pula terus bergelut dengan prestasi tidak menentu apabila dia yang berjaya memenangi set pertama gagal mengekalkan momentum apabila terpaksa akur tewas kepada pilihan kelima dari Thailand, Sitthikom Thammasin 21-17, 8-21, 11-21 manakala June Wei tunduk kepada Lee Dong Keun 16-21, 16-21.

Nasib sama turut dialami tiga pemain perseorangan lelaki profesional, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, Liew Daren dan Soo Teck Zhi apabila gagal melangkah ke pusingan kedua sekali gus menamatkan cabaran Malaysia dalam acara itu.

Berita Harian X