Khamis, 31 Oktober 2019 | 8:37pm
BEREGU lelaki negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei. - Foto Amran Hamid

Nur Izzuddin-Sze Fei terus rentak cemerlang Terbuka Macau

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei meneruskan rentak kecemerlangan mereka apabila mengesahkan tempat ke suku akhir Terbuka Macau, sebentar tadi.

Pasangan ranking ke-28 dunia itu bagaimanapun dipaksa bekerja keras sebelum melakar kemenangan ke atas beregu Korea Selatan, Na Sung Seung-Wang Chan 21-17, 21-23, 21-17 pada aksi pusingan kedua.

Mereka dijangka berdepan ujian sukar dalam misi memburu tempat ke separuh akhir apabila dijadual menentang pilihan keempat dari Taiwan, Lu Ching Yao-Yang Po Han, esok.

Sementara itu, beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheah Yee See turut melangkah ke suku akhir selepas mengatasi pasangan Hong Kong, Chung Yonny-Ng Shiu Yee 21-15, 21-19.

Tampil sebagai pilihan kelapan, Pang Ron-Yee See akan berdepan gandingan Taiwan, Lin Yong Sheng-Lin Wan Ching dalam perebutan tempat ke separuh akhir, esok.

Nasib bagaimanapun tidak menyebelahi beregu wanita muda negara, Pearly Tan-M Thinaah apabila ditunjukkan jalan keluar di pusingan kedua susulan kekalahan di tangan Siti Fadia Silva Ramadhanti-Ribka Sugiarto dari Indonesia 14-21, 20-22.

Berita Harian X