Jumaat, 1 November 2019 | 6:08pm
Gambar fail, Pemain beregu lelaki negara, Goh Sze Fer dan Nur Izzuddin Rumsani (kiri) ketika sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara. - Foto Zunnur Al Shafiq

Nur Izzuddin- Sze Fei mara separuh akhir Terbuka Macau

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei menamatkan badi kekalahan di tangan pasangan Taiwan, Lu Ching Yao-Yang Po Han apabila menewaskan lawan mereka itu hari ini untuk sekali gus mara ke separuh akhir Terbuka Macau.

Selepas tewas enam pertemuan berturut-turut, Izzuddin-Sze Fei hanya memerlukan tempoh 38 minit bagi melakar kemenangan ke atas pilihan keempat kejohanan itu 21-12, 21-16 dalam aksi suku akhir.

Sebelum ini, Izzuddin-Sze Fei hanya pernah menang sekali ke atas lawan itu ketika saingan Masters Malaysia 2017 yang turut menyaksikan mereka muncul naib juara.

"Kemenangan hari ini adalah berdasarkan pengalaman kami menentang mereka sebelum ini. Kami tampil dengan strategi berbeza dan cuba elak daripada melakukan kesilapan mudah.

"Jurulatih (Hoon Thien How) juga banyak membantu dan selebihnya kami memberikan fokus sepenuhnya dalam perlawanan," kata Izzuddin kepada BH Sukan.

Beregu ranking ke-28 dunia itu akan bertemu sama ada bekas juara dunia 2018, Li Jun Hui-Liu Yu Chen dari China atau beregu Taiwan, Lee Jhe-Huei-Yang Po-Hsuan bagi perebutan tempat ke pentas final, esok.

"Kedua-duanya beregu yang kuat dan kami perlu bersedia dari aspek mental. Sesiapa pun yang menjadi lawan kami, kami jangkakan ia akan menjadi perlawanan yang sengit," katanya.

Sementara itu, beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheah Yee See turut mengikut jejak langkah Izzuddin-Sze Fei apabila mara ke separuh akhir selepas bangkit daripada kekalahan set pertama bagi menundukkan pasangan Taiwan, Lin Yong Sheng-Lin Wan Ching 14-21, 21-18, 21-13.

Mereka akan berdepan satu lagi pasangan Taiwan, Wang Chi-Lin-Cheng Chi Ya bagi perebutan tempat ke final esok.

Berita Harian X