Isnin, 18 November 2019 | 10:54am
STEFANOS Tsitsipas bergambar bersama trofinya selepas menewaskan Dominic Thiem di London, awal pagi tadi. - Foto AFP
STEFANOS Tsitsipas membalas pukulan Dominic Thiem pada aksi ATP Final di London, awal pagi tadi. - Foto AFP

Tsitsipas julang gelaran ATP Final

LONDON: Stefanos Tsitsipas bangkit selepas ketinggalan satu set untuk menewaskan Dominic Thiem bagi menjulang gelaran ATP Final, awal pagi ini, sekali gus mendahului barisan generasi seterusnya untuk muncul bintang dunia suatu hari nanti.

Pemain Greece berumur 21 tahun itu menang 6-7 (6/8), 6-2, 7-6 (7/4) - muncul juara termuda sejak Lleyton Hewitt pada 2001 dan adalah juara keempat yang merangkul gelaran itu buat kali pertama.

Gelaran itu adalah yang ketiga buat Tsitsipas bagi musim ini dan juga diperoleh selepas setahun dimahkotakan sebagai juara Next Gen ATP Final di Milan.

Beliau memperoleh kejayaan di Arena O2 di London selepas beraksi baik sepanjang minggu dengan kejayaan membanggakan menumbangkan juara dunia enam kali, Roger Federer bagi mendapat tempat ke pusingan akhir.

STEFANOS Tsitsipas membalas pukulan Dominic Thiem pada aksi ATP Final di London, awal pagi tadi. - Foto AFP

“Saya sendiri tak sangka saya bermain dengan baik pada set kedua,” kata Tsitsipas. “Saya rasa fikiran saya lebih tenang dan saya tidak memberinya banyak peluang bermain.

“Kadang kala ia adalah mengecewakan bermain dengan rasa gementar tetapi saya lega apabila dapat mencatat kemenangan.”

Namun Tsitsipas, yang sudah menewaskan setiap pemain dalam "Big Three" – Roger Federer, Rafael Nadal dan Novak Djokovic pada tahun ini, akan memasuki musim baru dengan memberi impak lebih besar.

Bagi Thiem pula, kekalahan itu adalah mengecewakan selepas memenangi lima gelaran tahun ini termasuk Indian Wells Masters dan mara ke final Terbuka Perancis buat kali kedua berturut-turut. - AFP

Berita Harian X