Selasa, 10 Disember 2019 | 10:52am
MALAYSIA BOLEH!...Atlet badminton negara, (dari kiri) Aaron Chia, Soh Wooi Yik, Kosina Selvaduraj dan Lee Zii Jia menunjukkan pingat emas yang mereka menangi dalam acara badminton pada Sukan SEA 2019 di Kompleks Sukan Muntinlupa. - Foto BERNAMA
MALAYSIA BOLEH!...Atlet badminton negara, (dari kiri) Aaron Chia, Soh Wooi Yik, Kosina Selvaduraj dan Lee Zii Jia menunjukkan pingat emas yang mereka menangi dalam acara badminton pada Sukan SEA 2019 di Kompleks Sukan Muntinlupa. - Foto BERNAMA

Bakat muda BAM mula beri hasil

 

MANILA: Sinar semakin terang buat skuad badminton negara selepas kejayaan muncul juara keseluruhan acara itu pada Sukan SEA 2019 dengan kutipan tiga pingat emas, dua perak dan lima gangsa.

Tiga emas itu disumbangkan perseorangan lelaki, Lee Zii Jia; perseorangan wanita, S Kisona dan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, berkata kejayaan kali ini membuktikan usaha dilakukan bagi mengetengahkan pemain muda sudah mula membuahkan hasil positif.

“Saya sangat bangga dengan pencapaian skuad badminton kali ini. Paling bangga adalah ketiga-tiga emas disumbangkan hadir menerusi pemain muda.

“Mereka adalah masa depan badminton negara. Ini adalah permulaan untuk mereka dan diharapkan mereka terus cemerlang di peringkat antarabangsa,” kata Norza ketika ditemu di sini, semalam.

Pencapaian kali ini menjadi yang terbaik di pentas Sukan SEA sejak kali terakhir dilakukan pada 1975 yang turut menyaksikan skuad negara membawa pulang tiga emas.

Pemain negara turut meraih dua perak menerusi beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie dan berpasukan lelaki.

Selain itu, lima gangsa turut dibawa pulang beregu lelaki, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin; dua beregu wanita, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yen dan Vivian Hoo-Yap Cheng Wen dan beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing serta berpasukan wanita.

BAM sebelum ini hanya meletakkan sasaran satu emas namun tiga emas berjaya dituai dari bumi Manila.

Norza berkata, Kisona adalah pemain paling menyerlah dalam saingan kali ini yang mana dia berjaya menggalas tanggungjawab diberikan dengan baik.

“Kisona sebelum ini disenaraikan bagi menjadi pengganti kepada Goh Jin Wei dan Soniia Cheah. Namun, disebabkan Jin Wei tidak boleh bermain (baru selesai pembedahan usus), Kisona mengambil alih tempatnya.

“Soniia pula cedera di pusingan pertama. Jadi, sandaran beralih kepada Kisona dan dia berjaya menyerlah. Kami bangga dengan pencapaian Kisona,” katanya.

Berita Harian X