Rabu, 18 Disember 2019 | 7:33pm
Pasangan beregu lelaki negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin. - Arkib NSTP
Pasangan beregu lelaki negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin. - Arkib NSTP

Ee Yi-Yew Sin dalam bahaya

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin boleh dianggap dalam zon bahaya menjelang proses 'pembuangan' yang akan dijalankan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hujung bulan ini.

Ia susulan prestasi tidak menentu mereka sepanjang saingan tahun ini.

Malah, Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann menganggap pasangan ranking ke-19 dunia itu sebagai pemain yang gagal menepati sasaran diletakkan ke atas mereka terutama selepas muncul naib juara Masters Malaysia, Januari lalu.

"Mereka menunjukkan semangat juang tinggi tetapi masih belum cukup untuk mendapatkan kemenangan.

"Kalau kita lihat keputusan perlawanan, mereka tewas tipis. Ada sesuatu yang masih kurang. Selepas menjadi naib juara Masters Malaysia, saya menjangkakan sudah tiba masanya untuk mereka menyerlah. Namun, itu tidak berlaku. 

"Jadi, saya harap mereka mengambil iktibar daripada apa yang berlaku tahun ini untuk kembali  bangkit kerana kita ada banyak kejohanan penting tahun depan terutamanya Piala Thomas," kata Choong Hann kepada BH Sukan.

Selepas bergelar naib juara Masters Malaysia, Ee Yi-Yew Sin sering bergelut dengan prestasi tidak menentu termasuk ketika saingan Sukan SEA 2019 di Filipina.

Pada final acara berpasukan menentang Indonesia, Ee Yi-Yew Sin yang turun sebagai beregu kedua diharap mampu menyumbang mata bagi menyamakan kedudukan selepas Malaysia ketinggalan 1-2 tetapi mereka tewas kepada beregu ke-27 dunia, Wahyu Nayaka Arya Pangkaryanira-Ade Yusuf Santoso.

Harapan untuk mereka bangkit dalam saingan individu sekali lagi tidak menjadi kenyataan apabila Ee Yi-Yew Sin tersingkir di peringkat separuh akhir.

Ditanya sama ada Ee Yi-Yew Sin akan menjadi antara pemain akan digugurkan daripada skuad kebangsaan, Choong Hann bagaimanapun berkata proses penilaian masih lagi dijalankan.

"Kami sudah mendapat laporan daripada semua jurulatih dan sedang membuat penilaian. Saya jangkakan hujung bulan ini kita boleh dapat tahu (senarai pemain yang digugurkan)," katanya.

Berita Harian X