Rabu, 8 Januari 2020 | 5:59pm
PEMAIN beregu campuran Malaysia, Man Wei Chong dan Tan Pearly Koong Le menentang pemain Indonesia, Praveen Jordan dan Melati Deeva pada perlawanan kelayakan badminton Perodua Malaysia Masters 2020 di Axiata Arena, Bukit Jalil. NSTP/Eizairi Shamsudin

Magis Wei Chong-Pearly

KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara, Man Wei Chong-Pearly Tan Lee Koong menunjukkan 'magis' apabila mengejutkan pilihan kelima dari Indonesia, Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti pada pusingan pertama di Axiata Arena Bukit Jalil, hari ini.

Kedua-dua pemain itu yang hanya digandingkan bersama untuk acara beregu campuran ketika kejohanan beraksi cemerlang apabila menang 21-18, 21-13 ke atas lawan itu yang juga pemenang pingat emas Sukan SEA 2019 Filipina.

"Memang langsung tidak sangka boleh menang apatah lagi kami hanya bermain dalam acara ini apabila menyertai kejohanan saja. Kami juga tidak pernah menjalani latihan bersama untuk acara ini.

"Ini adalah kejohanan pertama kami untuk Jelajah Dunia BWF Super 500 dan apa yang kami mahu lakukan adalah memberikan aksi terbaik.

"Lawan kami banyak melakukan kesilapan dan itu membolehkan kami mengambil peluang untuk mengutip mata," kata Wei Chong yang bergandingan dengan Chia Wei Jie dalam acara beregu lelaki.

Mereka yang layak beraksi pada kejohanan kali ini selepas melepasi pusingan kelayakan, semalam akan berdepan satu lagi pasangan Indonesia, Hafiz Faizal-Gloria Emmanuelle Widjaja bagi merebut tempat ke suku akhir, esok.

Terdahulu, Pearly turut cemerlang dalam acara beregu wanita bersama gandingannya M Thinaah apabila menewaskan rakan senegara, Anna Cheong Ching Yik-Lim Chiew Sin 21-15, 21-10 dan akan bertemu pilihan kelapan dari Indonesia, Greysia Polli-Apriyani Rahayu, esok.

"Saya tiada masalah untuk bermain dua acara. Sama ada saya akan terus bermain beregu campuran atau tidak selepas ini ia terpulang kepada jurulatih untuk menentukannya," kata Pearly ketika ditanya jika dia mahu menukar acara dan fokus kepada acara beregu campuran berdasarkan potensi yang dimiliki bersama Wei Chong.

Sementara itu, beregu campuran profesional, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying turut mengesahkan tempat ke pusingan kedua selepas menewaskan rakan senegara, Low Hang Yee-Chiew Sin 21-7, 21-11.

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi beregu lelaki negara yang juga naib juara Masters Malaysia 2017, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei selepas tewas di tangan pasangan Korea Selatan, Kim Duk Yong-Kim Sa Rang 15-21, 17-21.

Pemain perseorangan lelaki profesional, Liew Daren turut terkandas di pusingan pertama selepas tewas kepada pilihan keenam dari Indonesia, Jonatan Christie 10-21, 21-16, 15-21.

Berita Harian X