Rabu, 8 Januari 2020 | 9:08pm
Zii Jia mengakui tekanan semakin memuncak buat dirinya selepas memenangi pingat emas Sukan SEA 2019 Filipina, November lalu. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Zii Jia hantar pulang naib juara dunia

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mengakui tekanan semakin memuncak buat dirinya selepas memenangi pingat emas Sukan SEA 2019 Filipina, November lalu.

Pemain berusia 21 tahun itu berkata, kesannya dapat dilihat ketika dia tewas set pertama 14-21 di tangan pemain Denmark, Anders Antonsen pada pusingan pertama Masters Malaysia di Arena Axiata Bukit Jalil, sebentar tadi.

Bagaimanapun, Zii Jia bijak mengatasi tekanan itu dengan dia mencetuskan kebangkitan luar biasa untuk menyingkirkan naib juara dunia 2019 itu hasil kemenangan pada dua set berikutnya 21-15, 21-8 sekali gus mara ke pusingan kedua.

Pemain ranking ke-14 dunia itu, berkata sokongan padu penyokong tempatan yang hadir di stadium menyuntik semangatnya untuk tidak mengangkat bendera putih lebih awal sekali gus menghilangkan tekanan yang dirasainya.

Kemenangan ke atas Antonsen dari Denmark itu adalah yang pertama buat Zii Jia selepas tewas dalam dua pertemuan sebelum ini.

"Saya perlu berterima kasih kepada penyokong yang hadir kerana memberikan sokongan biarpun saya tidak bermain dengan baik di set pertama.

"Set pertama saya agak tertekan kerana ini adalah kejohanan pertama tahun ini dan perlawanan pertama ditambah pula saya memenangi emas Sukan SEA tahun lalu dan ini menambahkan lagi tekanan kepada saya.

"Namun, mujur set kedua saya dapat bermain dengan mengikut arahan daripada jurulatih dan saya lebih tenang," kata Zii Jia.

Aksi spontan Zii Jia yang beberapa kali membuat pukulan kilas dan berjaya mengutip mata turut menarik perhatian penonton yang hadir di stadium.

"Saya anggap ia pukulan bertuah. Pukulan itu sedikit sebanyak meningkatkan lagi tahap keyakinan saya dalam perlawanan itu," katanya.

Pemain ranking ke-14 dunia itu akan membuat perhitungan dengan Sameer Verma dari India bagi perebutan tempat ke suku akhir, esok.

Sementara itu, beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie turut mara ke pusingan kedua selepas menundukkan pasangan China, He Ji Ting-Du Yue 21-12, 21-19.

Mereka akan bertemu beregu campuran Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue untuk aksi pusingan kedua, esok.

Nasib bagaimanapun tidak menyebelahi beregu campuran muda negara, Hoo Pang Ron-Cheah Yee See apabila tewas di tangan pilihan kedua dari China, Wang Yilyu-Huang Dong Ping 13-21, 10-21.

Berita Harian X