Khamis, 9 Januari 2020 | 2:23pm
Pemain beregu lelaki Malaysia, Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi menentang pemain China, Han Cheng Kai dan Zhou Hao Dong pada perlawanan badminton Perodua Malaysia Masters 2020 di Axiata Arena, Bukit Jalil. - Foto Eizairi Shamsudin
Pemain beregu lelaki Malaysia, Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi menentang pemain China, Han Cheng Kai dan Zhou Hao Dong pada perlawanan badminton Perodua Malaysia Masters 2020 di Axiata Arena, Bukit Jalil. - Foto Eizairi Shamsudin

Tindakan BAM tak luntur semangat Ee Yi-Yew Sin 

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin nampaknya tidak terkesan susulan pengguguran mereka daripada skuad badminton kebangsaan, minggu lalu.

Sebaliknya, tindakan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu memberikan kekuatan luar biasa buat pasangan ranking ke-19 dunia itu yang berjaya mengesahkan tempat ke suku akhir Masters Malaysia.

Ee Yi-Yew Sin melupakan detik hitam digugurkan daripada skuad kebangsaan dengan kemenangan ke atas pilihan kelapan dari China, Han Cheng Kai-Zhou Hao Dong 21-13, 21-18 dalam aksi pusingan kedua di Arena Axiata Bukit Jalil, hari ini.

Ia kemenangan pertama buat naib juara tahun lalu itu ke atas lawan berkenaan selepas tewas dalam dua pertemuan sebelum ini.

Bagi Yew Sin, dia percaya hanya dengan menampilkan prestasi cemerlang dapat membantu menarik minat penaja bagi membolehkan mereka meneruskan kerjaya sebagai pemain profesional.

“Sebenarnya setiap perlawanan dan kejohanan adalah penting buat kami. Kami mahu buat yang terbaik.

“Kami percaya jika kami menunjukkan prestasi baik, secara automatik pasti akan menarik minat penaja,” katanya ketika ditanya sama ada keputusan di Masters Malaysia penting untuk mereka menarik minat penaja.

Sebagai wakil profesional, Ee Yi-Yew Sin memerlukan sekurang-kurangnya RM300,000 setahun bagi membolehkan mereka menyertai kejohanan antarabangsa.

Pada saingan kali ini, Ee Yi-Yew Sin mendapat bantuan daripada bekas pakar beregu lelaki negara, Tan Boon Heong yang bertindak sebagai jurulatih.

“Boon Heong banyak bantu kami. Dia ada tengok perlawanan pasangan China itu dan bincang dengan kami sebelum masuk gelanggang. Jadi, kami lebih jelas mengenai strategi permainan yang kami perlu terapkan,” kata Ee Yi.

Ee Yi-Yew Sin akan bertemu pasangan berpengalaman Korea Selatan, Kim Gi Jung-Lee Yong Dae bagi perebutan tempat ke separuh akhir, esok.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X