Jumaat, 10 Januari 2020 | 7:13pm
Pasangan beregu campuran Malaysia, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying mencatat kemenangan ke atas gandingan Jepun, Takuro Hoki-Wakana Nagahara 21-15, 21-18 dalam aksi suku akhir kejohanan yang berlangsung di Arena Axiata Bukit Jalil. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Peng Soon-Liu Ying enggan tunggu saat akhir

KUALA LUMPUR: Beregu campuran profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying enggan menunggu sehingga saat akhir bagi mengesahkan tiket ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Sebaliknya, pasangan nombor enam dunia itu mahu memastikan tempat ke Tokyo dapat disahkan pada Mac depan berbanding menunggu sehingga tarikh tutup kelayakan yang akan berakhir pada hujung April.

Peng Soon-Liu Ying tampak serius dengan misi mereka itu apabila mengesahkan tempat ke separuh akhir Masters Malaysia, hari ini sekali gus mengukuhkan kedudukan ranking kelayakan mereka ke Tokyo.

Tampil sebagai pilihan keenam, pasangan negara itu tidak berdepan masalah apabila mencatat kemenangan ke atas gandingan Jepun, Takuro Hoki-Wakana Nagahara 21-15, 21-18 dalam aksi suku akhir kejohanan yang berlangsung di Arena Axiata Bukit Jalil.

"Memang kalau boleh kami mahu pastikan slot ke Olimpik lebih awal. Sekarang kami sudah layak ke separuh akhir Masters Malaysia dan kami harap dapat mencapai keputusan sama di Masters Indonesia minggu depan atau lebih lagi (keputusan yang lebih baik).

"Kami juga berharap dapat mencatat keputusan yang baik pada saingan Seluruh England (Mac). Jika boleh, kami percaya kami boleh mengesahkan tempat ke Olimpik lebih awal," kata Peng Soon ketika ditemui selepas tamat perlawanan.

Pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 kini di landasan terbaik bagi sekali lagi membawa cabaran negara pada temasya berprestij itu apabila menghuni tangga ketujuh ranking kelayakan Olimpik namun diekori rapat rakan senegara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie yang berada di kedudukan ke-10.

Setiap negara hanya dibenarkan mempunyai dua wakil bagi acara beregu sekiranya masing-masing berada dalam kelompok lapan terbaik sebaik tamat pusingan kelayakan.

Bagi saingan Masters Malaysia kali ini, Peng Soon-Liu Ying memasang impian untuk mengulangi pencapaian mereka yang berjaya muncul juara pada edisi 2012.

"Sudah pasti kami mahu cuba untuk mengulanginya apatah lagi kejohanan ini sudah dinaik taraf. Sejak menjadi Jelajaha Dunia BWF Super 500 dua tahun lalu, kami belum pernah lagi jadi juara.

"Jadi, kami akan cuba buat yang terbaik," kata Peng Soon yang bakal menyaksikan dia bersama Liu Ying berdepan pemenang perlawanan antara pasangan Belanda, Robin Tabeling-Selena Piek dengan Wang Yilyu-Huang Dongping dari China untuk aksi separuh akhir esok.

Nasib bagaimanapun tidak menyebelahi Soon Huat-Shevon apabila terkandas di suku akhir hari ini selepas tewas di tangan pilihan pertama dari China, Zheng Siwei-Huang Yaqiong 21-12, 21-9.

Berita Harian X