Sabtu, 11 Januari 2020 | 5:50pm
Aksi beregu campuran profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying ketika menentang pemain China, Wang Yi Lyu dan Huang Dong Ping pada separuh akhir Masters Malaysia di Axiata Arena, Bukit Jalil. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Peng Soon-Liu Ying perlu formula baharu

KUALA LUMPUR: Beregu campuran profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying perlu segera mencari formula baharu dalam corak permainan mereka jika mahu menjadi pencabar pingat pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Corak permainan pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 tampak mudah dibaca pihak lawan ketika mereka tewas di tangan pasangan nombor dua dunia, Wang Yi Lyu-Huang Dong Ping 10-21, 13-21 dalam aksi separuh akhir Masters Malaysia di Arena Axiata Bukit Jalil, hari ini.

Ini adalah kekalahan ketujuh berturut-turut dialami Peng Soon-Liu Ying di tangan lawan dari China itu dalam keseluruhan lapan pertemuan sebelum ini.

“Corak permainan mereka semakin sempurna. Boleh nampak yang mereka memang sudah tahu dengan permainan kami dan banyak yang kami perlu perbaiki dalam hal ini,” kata Liu Ying ketika ditemui selepas tamat perlawanan.

Sementara itu, ditanya mengenai dominasi pasangan China di kedudukan ranking dua teratas dunia yang dilihat mampu menutup peluang beregu lain untuk meraih emas dan perak di Tokyo, Peng Soon menegaskan ia tidak boleh dijadikan kayu pengukur.

“Saya fikir banyak lagi pasangan yang boleh mengatasi mereka. Apabila sudah beraksi di Olimpik, suasananya berbeza dan ia bergantung terhadap prestasi kita ketika hari perlawanan,” katanya.

Kekalahan hari ini menyaksikan Peng Soon-Liu Ying mengalihkan fokus bagi menghadapi Masters Indonesia yang bermula Selasa ini.

Pasangan nombor enam dunia itu berharap mereka dapat menebus kekecewaan kali ini dengan meraih gelaran pertama untuk kalendar tahun 2020.

Berita Harian X