Isnin, 20 Januari 2020 | 11:02pm
Gambar fail, Ketua Jurulatih, Datuk Misbun Sidek. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

'Saya hanya dengar-dengar' 

KUALA LUMPUR: Datuk Misbun Sidek terbuka dengan sebarang perbincangan sekiranya khidmat atau kepakarannya diperlukan bagi mengetuai struktur kejurulatihan skuad remaja negara.

Bagaimanapun, jurulatih berusia 60 tahun itu menegaskan sehingga hari ini belum ada kata putus berhubung perkara itu daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Katanya, beliau juga terlebih dahulu perlu mengetahui apa yang diinginkan badan induk itu jika khidmatnya diperlukan bagi membimbing pemain remaja.

“Saya tidak boleh komen panjang kerana perkara ini belum jelas dan belum ada perbincangan khusus ke arah itu.

“Setakat ini, saya hanya dengar-dengar dan sudah pasti saya perlu tahu apa yang diperlukan.

“Kalau mahu buat magis, ini senang saja kerana perkara ini memang makanan saya. Mahu buat kertas kerja semua memang sudah ada.

“Namun, apa yang lebih utama daripada perkara itu. Apakah yang dimahukan persatuan (BAM),” kata Misbun kepada BH Sukan.

BH Sukan sebelum ini melaporkan BAM dijangka mengubah peranan Misbun yang ketika memikul tanggungjawab sebagai ketua jurulatih pemain lelaki skuad senior kepada pengarah teknikal skuad remaja.

Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh mengakui Misbun memiliki kualiti yang diperlukan bagi jawatan itu tetapi belum ada sebarang keputusan muktamad berhubung perkara berkenaan.

Bagi Misbun, satu formula perlu dikaji bagi menyelesaikan masalah utama yang membelenggu pemain remaja ketika ini khususnya membabitkan proses peralihan kepada skuad  senior.

“Kalau mahu melahirkan juara remaja dunia itu bukan masalah besar tetapi masalah yang dihadapi apabila mereka memasuki skuad senior itu. Itu yang kita perlu tahu,” katanya.

Berita Harian X