Selasa, 21 Januari 2020 | 8:37pm
Gambar fail, Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Kenny Goh. - Foto Owee Ah Chun

BAM sambut baik bulu tangkis sintetik

 

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menyambut baik keputusan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang meluluskan penggunaan bulu tangkis sintetik dalam semua kejohanan bermula 2021.

Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh bagaimanapun, berkata BWF perlu melaksanakan perubahan itu dengan sebaiknya termasuk memastikan kualiti bulu tangkis sintetik itu sama seperti bulu tangkis asal diperbuat daripada bulu angsa. 

"Bagi kami ini adalah satu usaha yang baik daripada BWF kerana kita tahu bulu tangkis adalah satu komoditi yang mahal dan semakin berkurangan. 

"Kita juga tahu bulu angsa kebanyakannya dari negara China dan di situ ada konsep monopoli. Dengan adanya bulu tangkis sintetik, ia diharap dapat mengatasi isu seperti alam sekitar dan harga komoditi boleh dikawal dengan baik," katanya ketika ditemui, hari ini.

Beliau juga percaya BWF sudah menjalankan kajian terperinci mengenainya terutama kesan pelaksanaan ke atas pemain.

"Saya yakin BWF ada mendapatkan maklum balas daripada pemain kerana mereka adalah pemegang taruh paling penting di dalam kes ini. 

"BWF akan melaksanakannya pada 2021 dan kami harap dapat menggunakan bulu tangkis sintetik ini lima atau enam bulan lebih awal supaya pemain boleh mencubanya terlebih dahulu," katanya.

BWF dalam satu kenyataan dikeluarkan semalam menyatakan, selepas ujian berterusan ke atas pelbagai prototaip sewaktu pembangunan melalui kerjasama teknologi bersama Yonex, bulu tangkis sintetik didapati lebih tahan lama dan jimat berbanding bulu tangkis menggunakan bulu asli.

Pelbagai ujian juga mendapati bulu tangkis sintetik dapat mengurangkan penggunaan bulu tangkis sehingga 25 peratus, memberikan kelebihan penting untuk ekonomi dan penjagaan alam sekitar demi masa hadapan badminton.

Bagaimanapun, nada berbeza disuarakan pemain beregu lelaki negara, Aaron Chia yang tidak bersetuju dengan keputusan itu dan berpendapat ia bukan idea yang baik.

"Ia seperti bulu tangkis plastik. Mungkin dari sudut positif, ia membantu dunia (alam sekitar). Tapi dari sudut negatif saya tidak rasa ia sesuai digunakan untuk kejohanan. Ini kerana kualiti bulu tangkis itu sangat berbeza," kata Aaron yang turut menyifatkan kelajuan bulu tangkis sintetik tidak dapat dijelaskan dengan terperinci.

Berita Harian X