Jumaat, 24 Januari 2020 | 8:20pm
Beregu lelaki profesional negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Beregu lelaki profesional negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Hadiah Tahun Baharu Cina buat Ee Yi-Yew Sin

 

KUALA LUMPURr: Beregu lelaki profesional negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin menerima dua hadiah istimewa menjelang sambutan Tahun Baharu Cina, esok.

Selepas digugurkan daripada skuad kebangsaan, awal bulan ini, nama mereka disenaraikan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi membantu pasukan menghadapi Kejohanan Berpasukan Asia di Manila, Filipina, bulan depan.

Kejohanan di Manila itu turut menjadi pusingan kelayakan ke Piala Thomas/Uber, Mei depan.

Tidak cukup dengan itu, Ee Yi-Yew Sin cemerlang apabila mengesahkan tempat ke separuh akhir Masters Thailand selepas menumbangkan pilihan ketujuh dari Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi 21-15, 21-17 dalam aksi suku akhir, hari ini.

Pemilihan pasangan ranking ke-20 dunia itu untuk memperkuatkan skuad negara di Manila sememangnya tepat berdasarkan prestasi semasa mereka yang jelas tidak terkesan biarpun digugurkan daripada skuad kebangsaan.

Dalam dua kejohanan sebelum ini - Masters Malaysia dan Masters Indonesia, Ee Yi-Yew Sin mara sehingga ke peringkat suku akhir.

“Sudah pasti hari ini adalah hari yang menggembirakan buat kami. Ini hadiah yang istimewa sebelum Tahun Baharu Cina memandangkan kami tidak menyambutnya bersama keluarga kali ini.

“Sudah pasti kami tidak akan mensia-siakan peluang dapat mewakili negara kerana ia adalah satu kebanggaan buat kami biarpun tidak lagi bersama BAM. Kami akan buat yang terbaik,” kata Ee Yi kepada BH Sukan.

Ee Yi-Yew Sin akan meneruskan misi untuk mara ke final Masters Thailand dengan menentang pasangan Taiwan, Lee Jhe Huei-Yang Po Shuan pada aksi separuh akhir, esok.

“Kami gembira dengan prestasi kami ketika ini yang mana strategi kami semua menjadi dengan bantuan jurulatih (Chew Choon Eng). Kami harap kami boleh kekal rentak ini untuk perlawanan seterusnya.

“Bukan mudah untuk bermain dengan beregu Taiwan itu kerana mereka juga kuat. Kami akan berikan aksi terbaik,” kata Ee Yi.

Terdahulu, BAM menerusi kenyataan dikeluarkan, mengumumkan senarai pemain lelaki dan wanita yang akan membawa cabaran skuad negara pada kejohanan di Manila itu.

Skuad lelaki negara menggabungkan kombinasi antara pemain muda dan senior yang akan diketuai pemain perseorangan lelaki, Lee Zii Jia selain Cheam June Wei, Leong Jun Hao dan Ng Tze Yong.

Selain Ee Yi-Yew Sin, dua lagi beregu lelaki akan turut membarisi skuad kali ini iaitu pasangan nombor satu negara, Aaron China-Soh Wooi Yik dan Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei.

Sementara itu, skuad wanita pula menyaksikan empat pemain perseorangan wanita yang dibawa kali ini terdiri daripada Goh Jin Wei, Soniia Cheah, S Kisona dan Eoon Xi Quan.

Gandingan Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean selain Vivian Hoo-Yap Cheng Wen dan Pearly Tan-M Thinaah menjadi taruhan bagi menggalas tugas dalam acara beregu.

“Salah satu objektif kami dalam kejohanan ini sudah untuk melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Thomas/Uber secara merit. 

“Kami harap skuad muda yang disenaraikan kali ini bukan saja dapat menimba pengalaman tetapi memberi tentangan sengit kepada lawan yang lebih kuat. Ini adalah peluang mereka untuk buktikan kemampuan sebenar,” kata Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Han.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X