Jumaat, 24 Januari 2020 | 11:28pm
Pasangan beregu campuran Malaysia, Goh Soon Huat dan Lai Shevon Jemie berjaya mengesahkan tempat ke separuh akhir Masters Thailand, hari ini. - NSTP/Luqman Hakim Zubir

Beregu campuran tempah slot separuh akhir

 

KUALA LUMPUR: Dua beregu campuran negara cemerlang apabila masing-masing berjaya mengesahkan tempat ke separuh akhir Masters Thailand, hari ini.

Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie yang tampil sebagai pilihan ketiga menepati ramalan apabila menewaskan pasangan Hong Kong, Yeung Ming Nok-Ng Tzs Yau 23-21, 21-17 dalam aksi suku akhir berlangsung selama 42 minit.

Mereka akan bertemu beregu campuran England, Marcus Ellis-Lauren Smith bagi perebutan tiket ke pentas final esok.

Sementara itu, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing turut menyertai kelompok empat terbaik selepas menewaskan pasangan Denmark, Nicholas Nohr-Sara Thygesen 21-16, 21-9.

Pilihan kelapan itu akan bertemu pasangan Indonesia, Hafiz Faizal-Gloria Emmanuel Widjaja untuk aksi separuh akhir.

Terdahulu, beregu lelaki profesional,  Goh V Shem-Tan Wee Kiong meneruskan kemaraan selepas mereka yang diletakkan sebagai pilihan keempat menundukkan Ellis-Chris Langridge dari England 21-13, 16-21, 21-15.

Pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 itu akan bertemu pasangan China, Huang Kai Xiang-Liu Cheng, esok.

Berita Harian X