Sabtu, 25 Januari 2020 | 7:12pm
Beregu lelaki profesional, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin semakin ‘berbisa’ apabila mengesahkan tempat ke final Masters Thailand di Bangkok, hari ini. - Arkib NSTP

Ee Yi-Yew Sin ke final Masters Thailand

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki profesional, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin semakin ‘berbisa’ apabila mengesahkan tempat ke final Masters Thailand di Bangkok, hari ini.

Pasangan yang menghuni ranking ke-20 itu mara selepas menundukkan beregu Taiwan, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan 21-17, 21-14 dalam aksi separuh akhir.

Mereka akan bertemu pasangan China, Huang Kai Xiang-Liu Cheng di pentas final, esok.

Selepas digugurkan daripada skuad kebangsaan, tiga minggu lalu, ini adalah kali pertama Ee Yi-Yew Sin mara ke final sebagai pasangan profesional.

Dua kejohanan sebelum ini - Masters Malaysia dan Masters Indonesia menyaksikan mereka mara sehingga suku akhir.

Prestasi konsisten mereka berjaya memikat Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang menyenaraikan mereka bagi menghadapi Kejohanan Berpasukan Asia di Manila, Filipina bulan depan.

Terdahulu, Kai Xiang-Liu Cheng mara ke final selepas mengatasi satu lagi beregu profesional negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong 21-15, 21-11.

Dalam pada itu, nasib tidak menyebelahi beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie yang terpaksa akur tewas di tangan pasangan England, Marcus Ellis-Lauren Smith 21-19, 19-21, 22-24.

Skrip sama turut menimpa satu lagi beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing apabil tewas di tangan pasangan Indonesia, Hafiz Faizal-Gloria Emmanuelle Widjaja 19-21, 23-21, 17-21.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X