Ahad, 26 Januari 2020 | 8:51pm
Beregu lelaki negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin merekodkan gelaran pertama mereka bagi musim 2020 selepas mengungguli saingan Masters Thailand, hari ini. - NSTP/Syarafiq Abd Samad
Beregu lelaki negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin merekodkan gelaran pertama mereka bagi musim 2020 selepas mengungguli saingan Masters Thailand, hari ini. - NSTP/Syarafiq Abd Samad

Ee Yi-Yew Sin juara Masters Thailand

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki profesional negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin merekodkan gelaran pertama mereka bagi musim 2020 selepas mengungguli saingan Masters Thailand, hari ini.

Kejayaan itu hadir selepas pasangan yang baru tiga minggu digugurkan daripada skuad kebangsaan itu bangkit daripada kekalahan set pertama bagi menumbangkan beregu China, Huang Kai Xiang-Liu Cheng 18-21, 21-16, 21-17 dalam aksi final yang berlangsung selama 72 minit.

Kemenangan itu membuktikan sentuhan Ee Yi-Yew Sin masih berbisa dan tidak terkesan di sebalik tindakan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menggugurkan mereka sebelum ini.

Malah, prestasi konsisten dipamerkan beregu ranking ke-20 itu termasuk dalam dua kejohanan sebelum ini - Masters Malaysia dan Indonesia - BAM menyenaraikan mereka bagi memperkuatkan skuad negara menghadapi Kejohanan Berpasukan Asia di Manila, Filipina bulan depan yang juga pusingan kelayakan Piala Thomas/Uber 2020.

Di Masters Malaysia dan Indonesia, pasangan negara itu berjaya mara sehingga suku akhir.

Ini adalah gelaran kelima buat Ee Yi-Yew Sin di pentas antarabangsa sejak mereka digandingkan pada hujung 2015.

Berita Harian X