Jumaat, 14 Februari 2020 | 6:52pm
Pemain perseorangan Malaysia, Lee Zii Jia menyumbang mata pertama selepas menewaskan Heo Kwng Hee 21-9, 21-14. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Skuad lelaki layak ke pusingan akhir Piala Thomas

KUALA LUMPUR: Skuad badminton lelaki negara mengesahkan slot ke pusingan akhir Piala Thomas 2020 secara merit selepas mara ke separuh akhir Kejohanan Berpasukan Asia di Manila, sebentar tadi.

Malaysia menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik hasil kemenangan ke atas Korea Selatan 3-0 pada aksi suku akhir.

Sejak diperkenalkan pada 2016, ini adalah kali kedua berturut-turut skuad lelaki mara ke separuh akhir selepas turut melakukannya pada edisi 2018 di Alor Setar, Kedah.

Empat pasukan yang mara dalam kelompok empat terbaik secara automatik layak ke pusingan akhir Piala Thomas.

Aksi separuh akhir esok akan menyaksikan Malaysia bertemu pemenang perlawanan antara Jepun dengan Taiwan dalam satu lagi perlawanan suku akhir.

Pada aksi menentang Korea, kapten, Lee Zii Jia yang turut dalam acara perseorangan pertama menyumbang mata pertama selepas menewaskan Heo Kwng Hee 21-9, 21-14.

Beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik kemudiannya meletakkan skuad negara terus selesa di depan menerusi kemenangan ke atas gandingan Choi Solgyu-Kim Won Ho 21-19, 21-14.

Pemain perseorangan kedua, Cheam June Wei memastikan kemaraan skuad negara ke separuh akhir selepas menyumbang mata ketiga menerusi kemenangan ke atas bekas pemain nombor satu dunia, Son Wan Ho 21-18, 9-21, 21-14.

Kemenangan itu menyaksikan skuad lelaki mengikut jejak langkah skuad wanita yang terlebih dahulu mara ke separuh akhir selepas menewaskan Taiwan 3-1.

Berita Harian X