Khamis, 27 Februari 2020 | 6:43pm

Terbuka Jerman, Poland dibatalkan

KUALA LUMPUR: Dua kejohanan badminton dibatalkan dan ditangguhkan susulan kebimbangan terhadap penularan COVID-19 di benua Eropah.

Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa Terbuka Jerman 2020 yang akan berlangsung di Mulheim an der Ruhr dari 3 hingga 8 Mac ini dibatalkan.

Keputusan itu dibuat pihak majlis bandar raya Mulheim selepas mendapat nasihat daripada jabatan kesihatan awam berkaitan COVID-19.

Menurut BWF, Persatuan Badminton Jerman (GBA) juga telah mengesahkan keputusan yang dibuat pihak majlis bandar raya itu.

“BWF dan GBA menerima keputusan tersebut, dengan mengambil kira kebajikan dan mengutamakan para pemain, pengiring mereka, peminat dan para pegawai,” menurut kenyataan itu.

BWF dalam kenyataan yang sama turut memaklumkan Terbuka Poland yang akan berlangsung di Krakow dari 26 hingga 29 Mac ini juga ditangguhkan ke tarikh yang lain, susulan keputusan yang diambil Persatuan Badminton Poland (PBA) pada Rabu berikutan ancaman virus berkenaan.

Menurut BWF, PBA telah memaklumkan keputusan mereka untuk menangguhkan kejohanan tersebut kepada Badminton Eropah melalui surat selepas berunding dengan pelbagai pihak terlibat di negara itu.

BWF berkata kejohanan itu yang merupakan sebahagian daripada Sukan Olimpik Tokyo 2020 akan diadakan di luar tempoh kelayakan untuk ke Olimpik.

Sukan Olimpik Tokyo 2020 akan berlangsung dari 24 Julai hingga 9 Ogos.

Menurut Kesatuan Eropah (EU) menerusi laman web https://www.ecdc.europa.eu, sejumlah 381 kes dan 12 kematian dilaporkan berlaku di EU, anggota Kawasan Ekonomi Eropah (Iceland, Liechtenstein dan Norway), United Kingdom dan Switzerland setakat Rabu.- BERNAMA

Berita Harian X