Ahad, 15 March 2020 | 2:11pm
JURULATIH perseorangan lelaki negara, Hendrawan.
JURULATIH perseorangan lelaki negara, Hendrawan.

Perjalanan Zii Jia masih panjang – Hendrawan

KUALA LUMPUR: Jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan tetap positif biarpun perjuangan Lee Zii Jia tersekat pada separuh akhir Seluruh England, malam tadi.

Bagi jurulatih dari Indonesia berkenaan, perjalanan anak didiknya itu masih panjang namun dia berada dilandasan tepat untuk bergelar jaguh dunia selain dalam persiapan menghadapi Sukan Olimpik Tokyo 2020, Julai depan.

Langkah Zii Jia untuk mara ke final disekat pemain pilihan kedua kejohanan yang juga bekas juara dunia dari Denmark, Viktor Axelsen apabila dia tewas dalam pertarungan tiga set 21-17, 13-21, 19-21 pada aksi separuh akhir di Arena Birmingham.

“Saya lihat Zii Jia sudah melakukan yang terbaik. Kesalahan pada mata terakhir itu susah untuk diperkatakan...yang penting perlu berfikiran positif.

“Ada peningkatan yang ditunjukkan Zii Jia dan kita akan buat persiapan yang lebih baik untuk masa akan datang.

“Perjalanan  Zii Jia masih panjang dan dia dilandasan yang tepat. Diharapkan kita dapat bantu dia menjadi pemain utama dunia,” kata Hendrawan kepada BH Sukan.

Zii Jia yang juga pemain ranking ke-13 dunia masih boleh mendabik dada di atas pencapaian mara ke separuh akhir apatah lagi ini adalah penampilan sulungnya dalam kejohanan badminton tertua itu.

Kali terakhir wakil Malaysia mara ke final dan muncul juara acara perseorangan lelaki adalah menerusi Datuk Lee Chong Wei pada edisi 2017.

 

 

Berita Harian X