Isnin, 16 March 2020 | 12:32pm
Pemain badminton negara menjalani kuarantin selama 14 hari sebaik pulang daripada saingan Seluruh England.
Pemain badminton negara menjalani kuarantin selama 14 hari sebaik pulang daripada saingan Seluruh England.

COVID-19: Pemain badminton dikuarantin 14 hari

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengarahkan semua pemain dan jurulatih yang terbabit dalam saingan Seluruh England menjalani kuarantin selama 14 hari bagi mencegah jangkitan COVID-19 bermula, semalam.

Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh, berkata langkah itu adalah bagi mengikut saranan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selain Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN).

“Kami hanya mengikut SOP (Prosedur Operasi Standard) yang ditetapkan pihak berkuasa termasuklah MSN dan ISN yang bermesyuarat semalam. Langkah ini adalah bagi mengelak sebarang risiko yang tidak diingini.

“England antara negara di Eropah yang dikategorikan berisiko tinggi terkena jangkinan COVID-19. Jadi, kami perlu mengambil langkah yang sewajarnya.

“Namun, tiada apa yang perlu dibimbangkan kerana semua pemain berada dalam keadaan sihat,” kata Kenny kepada BH Sukan.

Seramai 11 pemain dan tiga jurulatih yang terbabit dalam saingan Seluruh England menjalani kuarantin sebaik tiba dari Birmingham, awal pagi semalam dengan mereka ditempatkan dalam bilik khas di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara.

Pemain yang terbabit adalah perseorangan wanita, Soniia Cheah; beregu lelaki, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei; beregu wanita, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean dan Vivian Hoo-Yap Cheng Wen serta beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jamie dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing

Jurulatih perseorangan wanita, Datuk Tey Seu Bock selain jurulatih beregu wanita, Rosman Razak dan jurulatih beregu campuran, Chin Eei Hui turut diarahkan menjalani kuarantin.

Kenny, berkata kumpulan kedua yang akan tiba dari Birmingham, petang ini turut akan menjalani proses sama membabitkan pemain perseorangan lelaki, Lee Zii Jia; beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik; jurulatih perseorangan lelaki, Hendrawan; jurulatih beregu lelaki, Paulus Firman dan Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X