Selasa, 17 March 2020 | 4:41pm
PEMAIN perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia. - Foto Eizairi Shamsudin
PEMAIN perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia. - Foto Eizairi Shamsudin

Zii Jia kini 10 terbaik dunia

KUALA LUMPUR: Kejayaan mara ke separuh akhir Seluruh England di Birmingham, minggu lalu nyata memberi impak yang besar buat pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia.

Pemain berusia 22 tahun itu kini berada sebaris dalam kalangan pemain utama dunia apabila kini menghuni ranking ke-10 dunia, naik tiga anak tangga dari kedudukan ke-13 sebelum ini.

Zii Jia mempamerkan prestasi cemerlang pada penampilan pertamanya dalam saingan Seluruh England apabila mara kelompok empat terbaik sebelum tewas di tangan bekas juara dunia dari Denmark, Vikto Axelsen yang turut muncul juara edisi kali ini.

Dia turut melakar kejutan menewaskan pemenang pingat emas Sukan Asia 2018 dari Indonesia, Jonatan Christie selain bintang sensasi China yang juga juara Olimpik Rio 2016, Chen Long dalam laluannya ke separuh akhir.

Pemain Jepun, Kento Momota yang masih dalam proses pemulihan susulan kemalangan dialaminya selepas tamat saingan Masters Malaysia, Januari lalu mengekalkan status sebagai pemain nombor satu dunia diikuti Chou Tien Chen dari Taiwan dan pemain Denmark, Anders Antonsen ketiga.

Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann berkata, permainan Zii Jia kini sudah naik ke satu tahap yang lebih tinggi berikutan pencapaian yang dilakarnya di Birmingham.

"Dia menunjukkan peningkatan yang sangat positif dan kini dia berada pada satu tahap yang lebih tinggi.

"Jadi, saya harap Zii Jia kekal tenang dan fokus untuk dia terus meningkatkan prestasinya. Dia perlu terus bekerja keras bagi memperbaiki kelemahan yang ada," kata Choong Hann kepada BH Sukan.

Ditanya sama ada pemain berusia 22 tahun itu akan berdepan masalah bagi mengekalkan momentumnya berikutan tindakan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menangguhkan semua kejohanan sehingga 12 April, Choong Hann berkata: "Kami cuba mengambil perkara ini dari aspek yang positif.

"Selagi Zii Jia kekal fokus dan bekerja keras bagi mencapai matlamat dalam latihan, ia bukan masalah besar untuk dia," katanya.

Pemain dari Alor Setar, Kedah itu sepatutnya beraksi dalam saingan Terbuka Malaysia yang dijadual berlangsung 31 Mac hingga 5 April ini, namun ia turut tersenarai dalam kejohanan yang ditangguhkan.

Bagaimanapun, sebelum boleh kembali menjalani latihan, dia bersama 13 lagi pemain dan enam jurulatih negara yang terbabit dalam saingan Seluruh England perlu menamatkan tempoh kuarantin selama 14 hari di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara bagi mencegah penularan jangkitan COVID-19.

Berita Harian X