Khamis, 19 March 2020 | 11:49am
Ranking Lee Zii Jia kini melonjak ke tangga ke-10 dunia. - Foto Reuters
Ranking Lee Zii Jia kini melonjak ke tangga ke-10 dunia. - Foto Reuters

Detik Zii Jia 'tuai' gelaran utama

KUALA LUMPUR: "Ini bukanlah pengakhiran yang dicari sebaliknya permulaan buat Lee Zii Jia."

Itu reaksi bekas jaguh badminton negara, Rashid Sidek ketika mengulas mengenai kedudukan ranking pemain perseorangan lelaki negara itu yang melonjak ke tangga ke-10 dunia.

Pencapaiannya mara sehingga separuh akhir pada penampilan pertama Seluruh England memberikan impak yang besar terhadap peningkatan kedudukan rankingnya yang naik tiga anak tangga daripada kedudukan ke-13 dunia sebelum ini.

Rashid yang juga bekas pemain nombor satu dunia, berkata dengan kedudukan dalam kelompok 10 terbaik dunia, sudah tiba masanya untuk Zii Jia mula 'menuai' gelaran juara dalam kejohanan utama.

"Pencapaian ini (berada dalam kelompok 10 terbaik dunia) adalah sesuatu yang positif dan pastinya meningkatkan lagi motivasi Zii Jia.  Jadi, selepas ini dia perlu meletakkan sasaran untuk memenangi gelaran juara dalam kejohanan besar.

"Jangan sampai menjadi pemain yang hanya berada dalam kelompok 10 terbaik dunia tetapi tidak menang apa-apa. Berada dalam kedudukan itu, apa jua boleh berlaku, sama ada dia melakukan kejutan atau dia dikejutkan.

"Zii Jia perlu bekerja keras dan menggandakan usahanya. Jangan mudah berpuas hati kerana selepas ini pihak lawan akan mula mengkaji permainannya," kata Rashid kepada BH Sukan.

Sebagai rekod, pemenang pingat emas Sukan SEA 2019 itu baru sekali merekodkan gelaran juara dalam kejohanan Jelajah Dunia BWF ketika dia menjuarai saingan Terbuka Taiwan 2018 selain muncul naib juara Masters Korea 2018.

Rashid memuji peningkatan prestasi ditunjukkan pemain berusia 21 tahun itu terutama dalam saingan Seluruh England dan tidak menafikan dia memiliki kualiti bagi meneruskan legasi yang ditinggalkan Datuk Lee Chong Wei.

"Kalau dia tiada kualiti, dia tidak boleh melakar kejutan menewaskan pemain utama dunia. Selepas ini dia perlu meletakkan sasaran untuk menewaskan pemain utama dunia yang lain pula," katanya.

Zii Jia mempamerkan prestasi cemerlang pada penampilan pertamanya dalam saingan Seluruh England apabila mara kelompok empat terbaik sebelum tewas di tangan bekas juara dunia dari Denmark, Vikto Axelsen yang turut muncul juara edisi kali ini.

Bagaimanapun, dia melakar kejutan menewaskan pemenang pingat emas Sukan Asia 2018 dari Indonesia, Jonatan Christie selain bintang sensasi China yang juga juara Olimpik Rio 2016, Chen Long dalam laluannya ke separuh akhir.

Berita Harian X