Jumaat, 20 March 2020 | 1:15pm

Kem Seluruh England negatif COVID-19

KUALA LUMPUR: Kesemua 21 pemain dan tujuh jurulatih termasuk pemain badminton negara yang pulang ke tanah air selepas beraksi di kejohanan All England baru-baru ini dilaporkan negatif COVID-19. 

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam satu kenyataan memberitahu, kesemua pemain kebangsaan akan terus mengikuti Perintah Kawalan Pergerakan yang dikeluarkan Kerajaan Malaysia. 

“Persatuan Badminton Malaysia (BAM) melakukan perbincangan dengan pihak pakar Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) untuk ujian COVID-19 ke atas jumlah keseluruhan 21 pemain dan tujuh jurulatih termasuk pemain professional yang pulang ke tanah air daripada All England di Birmingham. Keputusan kesemuanya adalah negatif. 

“Pemain kebangsaan akan terus mengikuti Perintah Kawalan Pergerakan yang dikeluarkan Kerajaan Malaysia dan sudah bersedia untuk menjalani program latihan individu.

“BAM akan terus berhubung rapat dengan badan berkaitan bagi memastikan langkah bertepatan dapat diambil,” kata BAM.

Antara pemain yang terbabit adalah perseorangan wanita, Soniia Cheah; beregu lelaki, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei; beregu wanita, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean dan Vivian Hoo-Yap Cheng Wen serta beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jamie dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.

Jurulatih perseorangan wanita, Datuk Tey Seu Bock selain jurulatih beregu wanita, Rosman Razak dan jurulatih beregu campuran, Chin Eei Hui turut diarahkan menjalani kuarantin.

Menjalani proses sama adalah pemain perseorangan lelaki, Lee Zii Jia; beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik; jurulatih perseorangan lelaki, Hendrawan; jurulatih beregu lelaki, Paulus Firman dan Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X