Selasa, 19 Mei 2020 | 2:47pm
Aaron (kanan) akui sedih tidak dapat lagi berlatih dengan Paulus.
Aaron (kanan) akui sedih tidak dapat lagi berlatih dengan Paulus.

Terhutang budi dengan Paulus

KUALA LUMPUR: Pemain beregu lelaki negara, Aaron Chia mengakui terhutang budi dengan Paulus Firman sepanjang berada di bawah bimbingan jurulatih berkenaan.

Katanya, Paulus menjadi watak penting terhadap peningkatan prestasi yang ditunjukkan dia dan pasangannya, Soh Wooi Yik sejak menggalas tugas sebagai ketua jurulatih beregu lelaki pada 2018.

Bagaimanapun, 'jodoh' Aaron-Wooi Yik bersama Paulus tidak panjang apabila jurulatih dari Indonesia itu ditukarkan bagi mengetuai skuad beregu campuran menerusi penstrukturan semula barisan kejurulatihan yang dilakukan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

"Kami memang gembira sepanjang berlatih dengan Paulus, banyak yang kami belajar daripadanya.

"Saya percaya, peminat di luar pun boleh nampak sejak Paulus menjadi jurulatih, kami menunjukkan peningkatan dan menghasilkan keputusan agak baik. Kami perlu berterima kasih kepada Paulus di atas tunjuk ajarnya selama ini.

"Agak sedih juga apabila tidak lagi berlatih dengan Paulus namun saya percaya kami masih boleh mendapatkan bantuannya dari semasa ke semasa kerana dia masih berada dalam skuad kebangsaan," kata Aaron kepada BH Sukan.

Antara pencapaian terbaik direkodkan Aaron-Wooi Yik sepanjang di bawah bimbingan Paulus adalah muncul naib juara Seluruh England 2019 dan beregu yang menghuni ranking nombor sembilan dunia itu semakin hampir bagi melayakkan diri buat kali pertama beraksi pada Sukan Olimpik Tokyo.

Tempat Paulus akan diambil alih rakan senegaranya, Flandy Limpele yang akan mengetuai barisan kejurulatihan beregu lelaki sambil dibantu Rosman Razak dan Hoon Thien How.

Mengenai pelantikan Flandy, Aaron, berkata dia teruja untuk menimba ilmu dengan pemenang pingat gangsa Olimpik Athens 2004 itu kerana ia pastinya akan memberikan satu lagi pengalaman baharu buat dirinya.

Berita Harian X