Selasa, 26 Mei 2020 | 6:05pm
Zii Jia (kanan) sedar tanggungjawab yang diletakkan di atas bahunya sebagai pengganti Chong Wei.
Zii Jia (kanan) sedar tanggungjawab yang diletakkan di atas bahunya sebagai pengganti Chong Wei.

Terima hakikat jadi pengganti Chong Wei

KUALA LUMPUR: Bintang muda, Lee Zii Jia semakin menerima hakikat dia adalah pengganti kepada bekas jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei.

Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann dalam temu bual bersama Olympic Channel menyifatkan pemain berusia 22 tahun itu sebagai pemain yang cepat belajar.

"Dia sedar ada tanggungjawab besar yang perlu digalasnya, memenuhi harapan tinggi yang diletakkan di atas bahunya dan beraksi secara konsisten sebagai pengganti kepada Chong Wei.

"Masih banyak lagi yang perlu dia belajar. Kami perlu terapkan aspek pemahaman dalam perlawanan dan menjadikannya mempunyai mentaliti lebih matang.

"Dia seorang pemain yang berani keluar daripada zon selesa yang mana ia adalah kualiti yang sangat baik. Apabila anda berani mencuba sesuatu yang baharu dan sebati dengannya, anda mampu melangkah lebih jauh," kata Choong Hann.

Ditanya sama ada Zii Jia mampu membawa pulang pingat pada Sukan Olimpik Tokyo, Choong Hann percaya peluang itu tetap ada.

"Olimpik adalah mengenai percaya pada diri sendiri. Ia juga adalah mengenai impian.

"Saya percaya selagi kita ada peluang untuk menunjukkan prestasi terbaik, selagi itu kita ada peluang untuk menang," kata bekas naib juara dunia 2003 itu.

Peningkatan prestasi ditunjukkan Zii Jia dalam tempoh dua tahun ini meletakkan dia sebagai antara pencabar pingat di Tokyo dengan dia kini berada di kedudukan ke-10 dunia.

Zii Jia yang memenangi pingat emas Sukan SEA 2019 membuktikan dia bukan lagi pemain belasahan apabila mencipta kejutan mara sehingga separuh akhir Seluruh England sebelum tewas di tangan Viktor Axelsen dari Denmark, Mac lalu.

Berita Harian X