Selasa, 8 Ogos 2017 | 12:01am
PRESIDEN Amerika Syarikat, Donald Trump (kanan) dan Presiden Russia, Vladimir Putin. - Foto EPA
PRESIDEN Amerika Syarikat, Donald Trump (kanan) dan Presiden Russia, Vladimir Putin. - Foto EPA

AS, Russia di ambang perang dingin baharu

PERANG Dingin di antara Amerika Syarikat (AS) dengan Russia versi 2.0 kelihatannya kembali bersemarak. Tahun lalu bekas Presiden Barack Obama menghalau semua petugas dan ahli keluarga diplomat Russia dalam tempoh 72 jam.

Kini Kongres AS pula usulkan sekatan terbaru terhadap Russia atas dakwaan campur tangan dalam Pilihan Raya Presiden AS 2016 dan juga hal ehwal dalaman Ukraine. Iran dan Korea Utara turut berada dalam senarai sekatan itu.

Ia menyasarkan syarikat terbabit dalam pelaburan projek berkaitan tenaga di Russia, juga industri pertahanan, perisikan, perlombongan, perkapalan, kereta api, dan perbankan Russia. Undian usul itu diterima majoriti di Kongres (419 berbalas 3) dan Senat (98 berbalas 2).

Ini mengakibatkan Presiden Donald Trump dalam dilema besar kerana jika beliau veto usul ini, kemungkinan bukan sahaja anggota Demokrat, tetapi juga Republikan akan undi menentang. Situasi ini mencerminkan pergolakan dalaman politik AS di mana wujud pihak anti-Russia, manakala Trump pro-Russia.

Dakwaan campur tangan Russia pada hakikatnya berkait rapat dengan 'survival' rejim Trump. Trump didakwa memperoleh sokongan Russia dalam kempen ke Rumah Putih. Russia turut didakwa bertanggungjawab menggodam serta melancarkan serangan siber ke atas pesaing Trump, Hillary Clinton.

Russia seperti dijangka bertindak balas dengan Presiden Vladimir Putin berikrar 'menghalau' 755 kakitangan diplomatik AS di Russia bagi 'mengimbangi' jumlah kakitangan diplomatik Russia di AS. Langkah Putin ini dilihat 'lunak' berbanding cadangan lain termasuk menarik diri daripada Perjanjian Pengharaman Ujian Nuklear Komprehensif (CTBT).

Ada beberapa kemungkinan impak sekatan terbaru ini ke atas kestabilan politik global. Di Barat, Kesatuan Eropah menyuarakan kebimbangan kesan sekatan AS ke atas prospek sektor tenaga Eropah. Russia adalah pembekal gas dan tenaga utama Eropah melalui Ukraine.

AS bakal hilang pengaruh hadapi Korea Utara

Selain itu, projek saluran paip minyak terbesar antarabangsa yang dalam operasi turut berpotensi terjejas seperti Caspian Pipeline Consortium. Di Timur pula, sekatan ini berpotensi menjadikan hubungan Russia-China jadi lebih signifikan, sekali gus mengetepikan AS sebagai pemain dominan di Pasifik. Terkini, Russia dan China menjalani latihan tentera bersama di mana buat pertama kali kapal tentera laut mereka meningkatkan keupayaan koordinasi tempur. AS juga bakal kehilangan pengaruh Moscow selaku salah satu anggota Perbincangan Enam Pihak memujuk Korea Utara agar tidak berterusan memprovokasi keamanan Pasifik dengan ujian peluru berpandu rentas benua. Bahkan di Asia Barat juga Russia semakin berpengaruh yang mana realitinya Tehran dan Moscow berjaya meluaskan pengaruh hasil kejayaan membantu rejim Bashar al-Assad memerangi Daesh.

Cuma, Putin menegaskan kerjasama penting Moscow dengan Washington memerangi keganasan, penyelesaian krisis Syria dan pencegahan penyebaran senjata pemusnah besar tidak akan terjejas.

Malah dari segi hubungan peribadi, Trump dan Putin akrab. Mereka jelas saling mengagumi antara satu sama lain.

Pertemuan mesra ketika sesi mesyuarat G-20 di Hamburg, Jerman Julai lalu menjelaskan segala-galanya. Namun, sanggupkah Trump 'berperang dingin' dengan Kongres dan Senat demi mengelakkan Perang Dingin 2.0 dengan Putin?

Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Berita Harian X