Khamis, 2 Julai 2015 | 4:40pm

Persiapan Aidilfitri 8 beranak musnah, rumah sewa hangus

ZULKIFLI di hadapan rumahnya yang musnah dalam kebakaran semalam. - Foto NSTP
ZULKIFLI di hadapan rumahnya yang musnah dalam kebakaran semalam. - Foto NSTP

MELAKA: Satu keluarga tinggal sehelai sepinggang termasuk persiapan Aidilfitri selepas rumah sewa mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Krubong Tengah, di sini, petang semalam.

Zulkifli Jaamat, 42, berkata ketika kejadian dia berada di Hospital Melaka untuk melawat isterinya, Siti Suziati Abas, 32, yang baharu selesai menjalani pembedahan membuang apendiks.

Bagaimanapun, dia yang bekerja sebagai buruh am bersyukur kerana semua enam anaknya tiada di rumah ketika kejadian, termasuk sepasang anak kembarnya, Iza Nuralia dan Iza Nuralisha, 2, yang ditinggalkan di rumah pengasuh.

"Hendak kata apa lagi. Semua barang pun tidak dapat diselamatkan. Baju yang saya pakai sekarang ini pun ihsan pemberian jiran-jiran.

"Saya hanya dimaklumkan mengenai kebakaran rumah ketika di hospital dan terus terus bergegas pulang," katanya yang ditemui, di tempat kejadian, hari ini.

Dalam kejadian itu kira-kira jam 2.30 petang, rumah sewa yang didiami Zulkifli sekeluarga hangus dijilat api dalam tempoh cuma kira-kira 10 minit.

Setakat ini, Zulkifli bersyukur kerana tuan rumah membenarkan dia sekeluarga menumpang sementara rumah lain.

Berita Harian X