Rabu, 23 Disember 2015 | 7:29am

Mayat mangsa nahas bas Thailand tiba di tanah air

ANGGOTA Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengangkat keranda mangsa nahas bas di Chiang Mai yang dibawa oleh pesawat Tentera Udara Thailand yang selamat tiba di Pangkalan TUDM Subang - Foto Asyraf Hamzah
ANGGOTA Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengangkat keranda mangsa nahas bas di Chiang Mai yang dibawa oleh pesawat Tentera Udara Thailand yang selamat tiba di Pangkalan TUDM Subang - Foto Asyraf Hamzah

SUBANG: Mayat 13 rakyat Malaysia yang terkorban dalam kemalangan bas terjunam di Lebuh Raya Chiang Mai-Chiang Rai berhampiran Doi Saket, Chiang Mai, Thailand, Ahad lalu, tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, di sini, awal pagi tadi.

Pesawat C130 TUDM yang tiba pada jam 3.30 pagi itu membawa keluarga mangsa terkorban bersama seorang penumpang yang tercedera, manakala pesawat milik Thailand tiba 15 minit kemudian membawa 13 mayat mangsa nahas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mah Siew Keong, berkata mayat jenazah dibawa pulang ke tanah air menaiki pesawat tentera Thailand manakala ahli keluarga serta seorang mangsa yang cedera menaiki pesawat TUDM.

"Lapan lagi mangsa rakyat Malaysia yang tercedera termasuk lima kritikal masih berada di hospital Miharaj di Chiang Mai, Thailand.

"Kerajaan sedia memberi bantuan kepada ahli keluarga dan mangsa terselamat dari segi kaunseling, kewangan dan proses penghantaran pulang ke Batu Pahat.

"Kita difahamkan mangsa yang masih berada di Thailand perlu menerima rawatan terdahulu sebelum dibawa pulang," katanya pada sidang media sebentar tadi.

Beliau berkata, mayat diserahkan kepada ahli keluarga masing-masing sebelum dibawa ke Batu Pahat, Johor manakala mangsa tercedera, Lee Siew Kim, 61, akan dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.

Berita Harian X