Isnin, 9 Mei 2016 | 9:33am

Penyelam mula gerakan mencari 4 mangsa bot karam

Anggota unit penyelam TLDM bertolak dari jeti Marina di Kudat untuk melakukan penyelaman di perairan Simpang Mengayau, pagi ini. Foto ihsan APMM
Anggota unit penyelam TLDM bertolak dari jeti Marina di Kudat untuk melakukan penyelaman di perairan Simpang Mengayau, pagi ini. Foto ihsan APMM

KUDAT: Seramai 13 penyelam memulakan operasi mencari di dasar laut pagi ini bagi mengesan bangkai bot dan sebuah enjin sangkut yang ditemui nelayan di perairan Simpang Mengayau, di sini, semalam.

Operasi menyelam di kawasan sekitar 2.8 batu nautika di utara Simpang Mengayau itu dikendalikan penyelam Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Bangkai bot dan enjin sangkut ditemui nelayan ketika memukat di perairan itu pagi semalam, disahkan daripada bot dinaiki empat mangsa termasuk tiga pelancong yang hilang di perairan ini, sejak seminggu lalu.

Difahamkan, operasi menyelam membabitkan kedalaman antara 23 hingga 40 meter.

Pegawai Operasi Maritim Kudat, Leftenan Komander Maritim Boon Chin Chau, berkata sembilan penyelam TLDM dan empat daripada APMM bertolak dari jeti Marina Kudat ke lokasi berkenaan pada jam 6 pagi tadi.

"Operasi menyelam bermula antara jam 7 pagi hingga 7.30 pagi," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Pagi semalam, sekumpulan nelayan yang memukat di perairan itu menemui bot serta dua enjin sangkut sebelum memaklumkannya kepada pihak berkuasa.

Satu daripada enjin berkenaan dibawa naik oleh kumpulan nelayan terbabit sebelum dibawa ke jeti APMM.

Adik kepada seorang mangsa yang hilang iaitu Tommy Lam Wai Yin, 45, mengesahkan bot dan enjin berkenaan digunakan empat individu terbabit ketika ke Pulau Balambangan, Isnin lalu.

Selain Tommy iaitu warga China yang juga pemilik sebuah pusat peranginan di Tanjung Simpang Mengayau, turut hilang ialah pasangan suami isteri dari Sepanyol, David Hernandes Gasulla dan Martha Miguel, kedua-duanya berusia 30 tahun dan wanita tempatan yang juga pekerja pusat peranginan, Armella Ali Hassan, 23.

Berita Harian X