Selasa, 10 Mei 2016 | 2:32pm

Penagih dadah simpan senapang patah

BANDAR SERI JEMPOL: Selain memiliki dadah ketika ditahan di rumahnya semalam, seorang lelaki di FELDA Lui Timur dekat sini, didapati menyimpan tiga laras senapang patah buatan sendiri bersama 22 butir peluru.

Lelaki berusia 31 tahun itu yang didapati positif mengambil dadah, ditangkap kira-kira jam 11.45 pagi dalam Ops Tapis oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Noorzainy Mohd Noor, berkata lelaki itu berada di luar rumah ketika serbuan manakala pemeriksaan di kediamannya menemui dua paket heroin dengan berat kira-kira 12.5 gram (g), satu paket syabu (0.8 g) dan satu paket tiub syabu.

Katanya, tiga laras senapang patah dan peluru ditemui dalam satu karung guni di lantai berhampiran beranda rumahnya.

"Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api," katanya di sini, hari ini.

Noorzainy berkata, lelaki terbabit mempunyai empat rekod lampau membabitkan dadah dan senjata api.

Berita Harian X