Isnin, 13 Jun 2016 | 6:33pm

APMM rampas hasil laut RM25,000

SEBUAH bot nelayan asing gagal lolos berjaya ditahan anggota APMM dibawa ke Jeti Pengkalan APMM Teluk Kalong, Kemaman.- Foto Shamsudin Husin
SEBUAH bot nelayan asing gagal lolos berjaya ditahan anggota APMM dibawa ke Jeti Pengkalan APMM Teluk Kalong, Kemaman.- Foto Shamsudin Husin

CHUKAI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Timur menahan sebuah bot nelayan asing dari Vietnam, yang menceroboh perairan negara kira-kira 54 batu nautika dari Kuala Kemaman, di sini.

Bot berkenaan bersama seorang tekong dan 16 awak-awak warga Vietnam berusia 18 hingga 53 tahun ditahan kira-kira jam 2.30 petang pada Sabtu lalu, selepas setengah jam dikejar bot peronda penguatkuasa APMM.

Pengarah Maritim Pangkalan Kemaman, Leftenan Komander Maritim Mohd Marmizi Md Nor, berkata usaha bot nelayan asing itu untuk melarikan diri dengan memecut laju bot mereka gagal apabila berjaya dipintas bot peronda APMM.

"Sebaik menyedari kehadiran bot peronda APMM, bot nelayan asing terbabit cuba memecut laju melarikan diri bagi mengelak ditahan dengan memotong tali pukat sehingga hampir melanggar bot peronda APMM.

"Bot peronda anggota kami berjaya mengelak daripada dilanggar bot nelayan terbabit dan terus mengejar bot nelayan asing kira-kira setengah jam sebelum ia berjaya ditahan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan ke atas bot terbabit menemui empat tan ikan baja, tujuh tan ikan campur dan 900 kilogram sotong kering bernilai kira-kira RM 25,000 dicuri daripada perairan negara dan dibawa ke Jeti Pangkalan APMM Teluk Kalong, Kemaman untuk tindakan lanjut.

Katanya, semua mereka ditahan untuk siasatan dan tindakan lanjut mengikut Akta Perikanan 1985 dan jika sabit kesalahan, tekong bot boleh didenda hingga RM1 juta dan awak-awak RM 500,000 setiap seorang.

Berita Harian X