Isnin, 16 Januari 2017 | 4:17pm

Polis tahan lelaki miliki senapang angin, syabu

Senapang angin, bebola besi dan paket dadah berisi syabu yang ditemui dalam serbuan di sebuah rumah di FELDA Jelai 2, Gemas, malam tadi.
Senapang angin, bebola besi dan paket dadah berisi syabu yang ditemui dalam serbuan di sebuah rumah di FELDA Jelai 2, Gemas, malam tadi.

TAMPIN: Polis menahan seorang lelaki berusia 20 tahun kerana memiliki senapang angin dan dadah di sebuah rumah di Felda Jelai 2, Gemas dekat sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Hamazah Ab Razak, berkata lelaki terbabit yang bekerja sendiri ditahan dalam satu serbuan oleh pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin, kira-kira jam 11 malam.

Katanya, hasil pemeriksaan di sebuah almari di dalam rumah lelaki itu menemui selaras senapang angin serta 92 biji bebola besi yang dipercayai dijadikan peluru.

"Pemeriksaan lanjut dalam lipatan kain di sebuah bilik menemui satu paket plastik lutsinar dipercayai mengandungi dadah jenis syabu seberat 0.03 gram," katanya di sini, hari ini.

Hamazah berkata, hasil ujian air kencing mendapati lelaki itu positif dadah jenis syabu dan ditahan kerana memiliki senapang patah serta dadah dan disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 serta Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960.

Berita Harian X