Rabu, 25 Januari 2017 | 9:13am

3 suspek miliki senapang angin ditahan

EMPAT laras senapang angin buatan sendiri yang dirampas daripada tiga suspek di pondok belakang sebuah kilang di Kampung Kunak Jaya, Kunak, malam tadi. - Foto ihsan IPD Kunak
EMPAT laras senapang angin buatan sendiri yang dirampas daripada tiga suspek di pondok belakang sebuah kilang di Kampung Kunak Jaya, Kunak, malam tadi. - Foto ihsan IPD Kunak

KUNAK: Polis menahan tiga lelaki termasuk seorang warga Filipina bersama empat laras senapang angin buatan sendiri dalam serbuan di sebuah pondok di belakang sebuah kilang di Kampung Kunak Jaya, dekat sini, malam tadi.

Dalam serbuan kira-kira jam 12.10 tengah malam itu, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) bersama tiga anggota Pasukan Petugas Khas (STF) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kunak, menyerbu lokasi berkenaan yang disyaki menjadi tempat pengedaran dan penagihan dadah hasil maklumat orang awam.

Ketua Polis Daerah Kunak, Superintendan Mohd Nasaruddin M Nasir, berkata selain empat laras senapang, polis menjumpai satu paket plastik lutsinar berisi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 5.5 gram.

"Ketika serbuan, semua suspek cuba bertindak agresif sehingga berlaku pergelutan sebelum mereka dapat ditahan.

"Semua suspek yang berumur 18 hingga 35 tahun itu kemudian dibawa ke IPD Kunak untuk siasatan lanjut," katanya di sini, sebentar tadi.

Nasaruddin berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berhubung tujuan tiga suspek terbabit memiliki senapang buatan sendiri.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960.

Berita Harian X