Khamis, 2 Februari 2017 | 1:37pm

APMM tahan kapal asing berlabuh tanpa kebenaran

KAPAL MT Hua Xiang 801 yang ditahan APMM kerana bersauh tanpa kebenaran di perairan Pengerang, Kota Tinggi. Foto ihsan APMM.
KAPAL MT Hua Xiang 801 yang ditahan APMM kerana bersauh tanpa kebenaran di perairan Pengerang, Kota Tinggi. Foto ihsan APMM.

KOTA TINGGI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah kapal pemancing profesional dari China yang berlabuh tanpa kebenaran di perairan Pengerang, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang, kapal terbabit dikesan bot ronda APMM ketika melakukan rondaan di perairan berkenaan sedang berlabuh di kedudukan sekitar 2.8 batu nautika Selatan Tanjung Setapa, dekat sini.

Ketua Penguat Kuasa Maritim Daerah Tanjung Sedili, Kapten Maritim Amran Daud, berkata pihaknya menghampiri kapal terbabit untuk pemeriksaan sebelum didapati melakukan kesalahan berlabuh di kawasan larangan bersauh.

"Kapal Hua Xiang 801 yang didaftarkan di Zhua Shan, China membawa 12 anak kapal warga negara China berusia antara 23 hingga 53 tahun. Kapten kapal dan ketua jurutera sudah dibawa ke pejabat Maritim Malaysia Tanjung Sedili untuk siasatan selanjutnya," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Amran berkata, pemilik kapal terbabit boleh didakwa mengikut Seksyen 491B (1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO 1952) iaitu berlabuh di kawasan larangan bersauh di perairan Malaysia dan boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

"Tahun lalu, Maritim Malaysia Tanjung Sedili berjaya menyelesaikan 32 kes seumpama ini, manakala bagi permulaan tahun 2017 adalah kes yang pertama.

"Kita akan terus mempertingkatkan kawalan keselamatan serta penguatkuasaan undang-undang maritim di perairan negara bagi memastikan keselamatan kapal yang melalui perairan negara sentiasa terjamin dan mereka mematuhi undang-undang Malaysia," katanya.

Berita Harian X