Isnin, 24 April 2017 | 6:29pm

Lelaki warga Indonesia maut kemalangan

SEORANG lelaki maut apabila motosikal yang dinaikinya bertembung dengan sebuah lori dalam kemalangan di Jalan Paya Terubong, Georgetown, Pulau Pinang. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal
SEORANG lelaki maut apabila motosikal yang dinaikinya bertembung dengan sebuah lori dalam kemalangan di Jalan Paya Terubong, Georgetown, Pulau Pinang. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

GEORGETOWN: Seorang lelaki warga asing maut selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah lori tiga tan di Jalan Paya Terubong, di sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian jam 1.55 tengah hari itu, mangsa warga Indonesia yang dikenali sebagai Budi Traspio, 35, dikatakan menunggang motosikal dari arah Jalan Paya Terubong menghala ke Relau, di sini, maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid, berkata siasatan di lokasi kejadian mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal ditunggangi mangsa dipercayai hilang kawalan ketika menuruni laluan berbukit di kawasan itu.

"Motosikal yang ditunggang mangsa hilang kawalan, masuk ke lorong bertentangan dan bertembung dengan lori terbabit.

"Mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Difahamkan, mangsa menetap di Sungai Pinang dan bekerja sebagai kontraktor binaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalanraya 1987.

Berita Harian X