Khamis, 23 March 2017 | 12:05am

Anak minta Syura, bekas suami kembali bersatu

PENYANYI, Syura Badron, 30, mengakui bahawa anaknya pernah meminta beliau dan bekas suami, Mohd Fadhly Md Yassin, 36, kembali bersama selepas mereka berpisah, hampir dua tahun lalu.

Kata wanita yang cukup dikenali dengan lagu duet bersama Siti Nordiana, 'Bakawali' itu, beliau memberitahu anak-anaknya, Nurul Dania Irdani, 10; Nurul Qaisara Sofia, 8; dan Muhammad Irfan Aryan, 6, bahawa dirinya bahagia walaupun hidup solo, apatah lagi dengan kehadiran mereka bertiga.

Kata Syura lagi, walaupun mereka masih kurang memahami apa yang berlaku, namun beliau tidak pernah menyembunyikan kisah perpisahannya dengan bekas suami.

Walaupun bukan lagi suami isteri, demi kebahagiaan tiga cahaya mata mereka, hubungan antara kedua-duanya masih rapat sehingga anak-anak pernah menyuarakan hasrat untuk melihat ibu bapa mereka bersatu kembali.

"Anak-anak pernah bertanya, di mana ayah mereka? Saya berterus-terang dengan mengatakan kami sudah pun berpisah.

SYURA tidak pernah menyembunyikan kisah perpisahannya dengan bekas suami kepada anak-anaknya. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
SYURA tidak pernah menyembunyikan kisah perpisahannya dengan bekas suami kepada anak-anaknya. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

SYURA (kiri) dan Mohd Fadhly berkahwin pada 29 Mac 2006 dan sah bercerai buat kali kedua pada 19 Ogos 2015. - Foto fail NSTP/ Mior Azfar Mior Kamarulbaid
SYURA (kiri) dan Mohd Fadhly berkahwin pada 29 Mac 2006 dan sah bercerai buat kali kedua pada 19 Ogos 2015. - Foto fail NSTP/ Mior Azfar Mior Kamarulbaid

"Perpisahan juga tidaklah bererti masing-masing melepaskan tanggungjawab, walaupun anak-anak berada dengan saya. Bekas suami sangat mengambil berat mengenai anak-anak. Kami juga masih boleh duduk berbincang mengenai persekolahan, perancangan dan perbelanjaan tiga anak kami," katanya.

Syura dan Mohd Fadhly berkahwin pada 29 Mac 2006 dan sah bercerai buat kali kedua di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 19 Ogos 2015. Pasangan itu berpisah buat kali pertama pada November 2014.

Menjalani kehidupan sebagai ibu tunggal juga, akui Syura, bukan mudah, apatah lagi apabila ada pihak memandang serong dan menganggap perpisahan yang terjadi disebabkan oleh badi.

Tidak melatah mahupun melenting dengan andaian tidak berasas sebegitu, Syura menganggap perpisahan itu sebagai suratan takdir dan ia berlaku dengan kerelaan masing-masing.

Kegagalan rumah tangga juga bukan alasan untuknya menutup pintu hati bagi mengenali lelaki lain, seterusnya bercinta lagi.

"Saya tak pernah menyesal atau serik dengan perpisahan ini walaupun ada yang mendakwa perceraian kami adalah badi selepas keluar daripada sebuah program realiti masakan.

Lionel Messi diasak pemain Borussia Dortmund dalam aksi di Camp Nou. - Foto Reuters
Lionel Messi diasak pemain Borussia Dortmund dalam aksi di Camp Nou. - Foto Reuters

"Saya juga tidak takut untuk mengenali mana-mana lelaki. Cuma, mungkin susah untuk orang luar memahami keadaan saya. Saya akui memerlukan banyak perkara dalam hidup, namun saya perlu mendahulukan kepentingan anak-anak berbanding diri sendiri," katanya.

Syura berkata, sebagai artis, kehidupan peribadinya tentu saja mendapat perhatian umum dan beliau harus tabah menghadapi segala dugaan.

"Pada awalnya, keluarga susah juga hendak menerima dan terkejut sebab saya tidak pernah bercerita masalah kami. Sekarang, mereka banyak memberikan semangat.

"Saya memang tidak pernah bercerita punca sebenar perpisahan kami kepada sesiapa. Biarlah saya dan bekas suami saja yang tahu puncanya," katanya.

Ingin kembali aktif di arena seni suara, Syura yang ditemui pada majlis sidang media Lawak Vaganza Hot FM dan Super Karoks Kool FM di Petaling Jaya mahu menjadikan platform rancangan nyanyian itu sebagai medan untuknya berbuat begitu.

"Saya masih aktif menyanyi untuk majlis korporat, cuma agaknya diri tidak lagi begitu dikenali kerana sudah lama tidak muncul di televisyen mahupun radio. Saya sebenarnya cuba membuat kemunculan semula menerusi single Ajari Aku Cinta dan Gantung, tiga tahun lalu, tetapi tidak menjadi.

PENYANYI, Syura Badron. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
PENYANYI, Syura Badron. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

"Jadi, saya berharap dengan menyertai pertandingan realiti sebegini, ia dapat membawa nama saya kembali dalam industri. Saya tak kisah dan tidak malu untuk bersaing dengan generasi baharu dalam program sebegini kerana untuk kekal dalam industri seni, kita tidak boleh ada perasaan sebegitu," katanya.

Pernah menolak tawaran menyertai Gegar Vaganza musim lalu, penyanyi yang turut mengusahakan perniagaan penghantaran makanan ini berkata, beliau terpaksa melepaskan tawaran itu kerana komitmennya pada program D'Academy Asia.

Info:

  • Juara Masterchef Selebriti Malaysia musim kedua ini mula membabitkan diri dalam bidang seni pada tahun 2000.
  • Pernah menghasilkan tujuh album antaranya, Khazanah Pujangga, Syahda Berdendang, Balaghah dan Aruda.
  • Bekas penuntut Universiti Antarabangsa Unitar di Petaling Jaya dalam bidang Seni Kulinari ini turut diangkat sebagai ikon universiti terbabit.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X