Ahad, 26 March 2017 | 12:07am
PERDANA Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad bersama skuad negara bergambar dengan Piala Thomas di pejabatnya. - Foto NSTP
PERDANA Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad bersama skuad negara bergambar dengan Piala Thomas di pejabatnya. - Foto NSTP

Memori indah 16 Mei 1992

KUALA LUMPUR: Sorakan gemuruh pada malam penuh bersejarah pada tarikh keramat 16 Mei 1992 di Stadium Negara pastinya tidak akan dilupakan 12,000 penonton yang hadir menyaksikan sendiri perlawanan akhir Piala Thomas pada malam itu.

Kejayaan terbesar negara pada malam itu apabila merampas kembali Piala Thomas selepas kali terakhir memenanginya 25 tahun terdahulu iaitu pada tahun 1967.

Dengan kejayaan 3-2 menundukkan Indonesia, pemain skuad negara - Rashid Sidek, Foo Kok Keong, Kwan Yoke Meng, Razif Sidek-Jalani Sidek, Cheah Soon Kit-Soo Beng Kiang menempa nama dan tidak hairanlah pelbagai ganjaran yang diterima mereka ketika itu.

Skuad negara dianugerahkan sepasang persalinan pahlawan Melayu berserta tanjak dan keris kepada sembilan pemain negara serta sumbangan pihak swasta dengan jumlah terkumpul RM2.625 juta dalam majlis Jamuan Negara.

Sumbangan swasta termasuk wang tunai berjumlah RM1.95 juta iaitu sumbangan RM1.2 juta dari Sports Toto, Kelab Country Golf Kuala Lumpur (wang tunai RM500,000 dan keahlian seumur hidup bernilai RM75,000 untuk setiap pemain) dan YTL Corporation Bhd (RM250,000).

Piala Thomas diarak seluruh negara

SKUAD Piala Thomas 92 diarak bersama piala di seluruh negara. - Foto NSTP
SKUAD Piala Thomas 92 diarak bersama piala di seluruh negara. - Foto NSTP

Menteri Belia dan Sukan ketika itu, Tan Sri Annuar Musa selaku Pengerusi Majlis Sukan Negara (MSN), menyampaikan cek skim hadiah kemenangan kepada semua pemain skuad negara yang berjaya merampas semula piala keagungan badminton dunia itu selepas penantian 25 tahun.

Semua pemain, termasuk pemain simpanan, masing-masing menerima RM15,000 menerusi Skim Galakan Jurulatih dan RM8,000 menerusi Skim Kecemerlangan Pengurusan Sukan kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Kerajaan Selangor pula memberi anugerah pemilikan tanah seluas 2 hektar kepada kelima-limanya anak watan Selangor - Razif, Jalani, Rashid dan Rahman Sidek serta Kok Keong yang berjaya merampas Piala Thomas.

SKUAD Piala Thomas 92 menyerahkan raket kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad di pejabatnya. - Foto NSTP
SKUAD Piala Thomas 92 menyerahkan raket kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad di pejabatnya. - Foto NSTP

Tidak habis di situ, sambutan meraikan kejayaan pasukan badminton negara turut disambut secara berterusan apabila Piala Thomas dibawa ke seluruh negara termasuklah Pulau Pinang, Selangor dan Johor bagi memberi peluang rakyat menyaksikan sendiri piala keramat itu.

Pada tahun sama, Piala Thomas turut diabadikan dalam bentuk bunga-bungaan yang akan diarak di atas kereta berhias sempena Minggu Flora 1992.

Majlis Daerah Johor Bahru Tengah (MD-JBT) turut membina tembok peringatan kejayaan skuad badminton negara sebagai kenang-kenangan.

Tembok peringatan itu ditaja oleh sebuah syarikat perumahan dibina di persimpangan Taman Ungku Tun Aminah.

Jasa Sidek terus diabadi

KEJAYAAN skuad negara merampas kembali Piala Thomas dikongsi bersama Datuk Sidek Abdullah Kamar dan isteri, Datin Rukiah dan peminat nombor satu Malaysia, Datin Seri Dr Siti Hasmah Ali.
KEJAYAAN skuad negara merampas kembali Piala Thomas dikongsi bersama Datuk Sidek Abdullah Kamar dan isteri, Datin Rukiah dan peminat nombor satu Malaysia, Datin Seri Dr Siti Hasmah Ali.

Kejayaan melahirkan jaguh badminton negara terutama selepas kejayaan Piala Thomas 1992 menyaksikan Allahyarham Datuk Sidek Abdullah Kamar turut dikenali.

Dengan kejayaan Razif, Jalani, Rashid dan Rahman serta tidak ketinggalan Misbun, tidak hairanlah Sidek digelar bapa badminton Malaysia ketika itu.

Sebelum ini, Sidek berkata dia menyaksikan kejayaan Piala Thomas 1967 dan bertekad mahu mengulangi kejayaan itu semula dengan menanam minat sukan badminton buat anak-anaknya.

Sejak kejayaan Piala Thomas 1992, Sidek menjadi perhatian umum apabila muncul di khalayak ramai dengan orang ramai dan sahabat handai tidak putus-putus membuat panggilan telefon ke rumahnya.

Bina tugu

PEMAIN skuad negara pada perlawanan akhir Piala Thomas. - Foto ihsan pembaca
PEMAIN skuad negara pada perlawanan akhir Piala Thomas. - Foto ihsan pembaca

Sidek juga mengadakan kenduri kesyukuran dengan dua ekor lembu dan 200 ekor ayam dikorbankan memandangkan dia sudah terlebih dahulu bernazar mengadakan kenduri khas jika Malaysia berjaya merampas semula piala itu.

Satu pameran juga diadakan di rumahnya di Banting dengan pameran yang diadakan itu termasuk mengenai pelbagai jenis hadiah, piala dan peralatan yang diperoleh oleh kelima-lima anaknya sepanjang pembabitan mereka dalam dunia badminton.

Sebuah tugu dan gelanggang permainan badminton bernilai RM20,000 pula dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib pada hari sama.

Kos pembinaan tugu itu yang lengkap dengan dua raket besi serta bulu tangkis dibiayai oleh kerajaan negeri.

Fakta menarik

1 Nama rasmi piala prestij itu adalah Piala Kejohanan Badminton Antarabangsa.

2 Piala setinggi 78sm itu dikeluarkan di London pada 1939 dan disalut emas dan bertatahkan perak, disumbang oleh Sir George Alan Thomas, bekas Presiden Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF).

3 Sebanyak 500 dozen bulu tangkis digunakan pada pusingan kelayakan di Stadium Badminton Kuala Lumpur, Cheras 1989, iaitu rekod bagi bilangan penggunaan bulu tangkis untuk sesuatu pertandingan.

4 Pemain Jepun, Noriko Takagi hanya mengambil masa sembilan minit sebelum menewaskan Poppy Tumengkol dari Indonesia dalam satu perlawanan Piala Uber di Tokyo, Jepun pada 1969.

5 Punch Gunalan dari Malaysia, adalah pemain tunggal dari skuad Piala Thomas 1970 yang berjaya meraih ketiga-tiga gelaran Sukan Komanwel (beregu 1970, perseorangan 1974), Sukan Asia (1970) dan Sukan Sea (1969) menerusi acara perseorangan dan beregu.

6 Sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur yang berjanji menghadiahkan sebuah kereta Porsche kepada setiap pemain jika merangkul Piala Thomas pada 1990 di Tokyo, perlu membayar cukai sejumlah $1.6 juta. Malaysia bagaimanapun gagal dan impian memiliki kereta jenis itu tinggal impian.

7 Jurulatih Malaysia, Han Jian pernah mengamuk dan menghempaskan raket sehingga patah akibat terlalu marah selepas mendapat tahu latihan skuad negara terpaksa disingkatkan kerana pasukan lain sudah membuat tempahan gelanggang ketika membuat persiapan menghadapi Piala Thomas 1990.

8 Lebih 1,000 peminat membanjiri Stadium Negara pada 22 Mei 1988 untuk menyaksikan latihan yang dijalani oleh pasukan-pasukan yang bertanding, terutama China, walaupun kejohanan sebenar Piala Thomas belum dimulakan.

9 Polis terpaksa menggunakan kren untuk menarik kereta yang diletakkan di tempat yang salah pada hari pertama kejohanan Piala Thomas di Stadium Negara pada 1988 selepas arahan yang dikeluarkan sebelumnya diabaikan begitu saja.

10 Ketua pasukan Malaysia, Razif Sidek dan bekas pemain negara, Ong Beng Teong menyambut hari jadi yang sama, iaitu 29 Mei. Kedua-duanya begitu bersemangat untuk merangkul Piala Thomas sebagai hadiah menyambut ulang tahun mereka yang ke-26 pada 1988, tetapi Malaysia tewas di tangan China dalam perlawanan akhir.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X