Rabu, 5 April 2017 | 12:06am
PADA usia lebih separuh abad, tiada langsung terpampang garis usia di wajah ratu jazz negara, Datuk Sheila Majid.- Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
PADA usia lebih separuh abad, tiada langsung terpampang garis usia di wajah ratu jazz negara, Datuk Sheila Majid.- Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Rahsia Sheila Majid kekal muda

KUALA LUMPUR: Pada usia lebih separuh abad, tiada langsung terpampang garis usia di wajah ratu jazz negara, Datuk Sheila Majid, 53, yang tampil jelita, anggun dan cergas berkat amalan pengambilan nutrisi serta penjagaan wajah secara konsisten.

Sheila berkata, beliau tidak mengamalkan diet ketat, sebaliknya cuma memastikan pengambilan nutrisi seimbang sesuai keperluan tubuh.

Katanya, sejak kecil diajar ibunya mengambil makanan seimbang yang mengandungi protein, karbohidrat dan sayuran hijau.

"Setiap kali menyediakan hidangan untuk kami, ibu akan pastikan kombinasi menu yang betul, misalnya untuk sajian lemak ayam perlu diseimbang dengan ikan masin, sambal belacan dan ulam-ulaman," katanya kepada BH Plus, semalam.

Namun, Sheila atau nama penuh Shaheila Abdul Majid akan meningkatkan kecergasan dan tenaga di gimnasium terutama menjelang konsert besar.

"Selalunya, saya berlari di treadmill, namun kebanyakan masa melakukan senaman pilates yang tidak pernah ditinggalkan sejak 10 lalu.

SHEILA Majid meningkatkan kecergasan dan tenaga di gimnasium. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
SHEILA Majid meningkatkan kecergasan dan tenaga di gimnasium. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

"Setiap kali konsert besar, saya perlu menyanyi sehingga 20 lagu dan senaman kecergasan ini membantu saya memperoleh stamina," katanya.

Tidak ambil sarapan berat

Penyanyi bertubuh genit dan ibu kepada empat cahaya mata berusia antara 13 hingga 26 tahun, Khalifa Laila Murshim, Megat Abdul Majid, Wan Nur Khaleda, Khadeja Zaireen Murshim secara jujur mengaku hanya bersarapan dengan yogurt.

"Saya tidak pernah mengambil sarapan berat, sebaliknya hanya makan Yogurt setiap pagi bagi membantu penghadaman, secawan kopi bersama buah-buahan sebagai pengalas perut.

"Selain itu, saya juga mengamalkan minum susu untuk membekalkan kalsium, protein dan kolagen," katanya.

Sheila yang juga duta susu Anlene berkata seboleh mungkin beliau tidak mengambil makanan ringan walaupun ketika jadual kerjanya padat.

"Saya menekankan pengambilan makanan sihat kepada anak-anak mereka dan tidak menggalakkan minuman bergas sebaliknya minum air kosong sebagai amalan sihat untuk tubuh," katanya.

"Ibu sebagai idola dalam banyak perkara termasuk dari segi penyediaan sajian berkhasiat dan nutrisi. Lazimnya ibu akan menghidangkan makanan mengandungi keju, sayur-sayuran dan buah-buahan untuk hidangan kami lapan beradik.

"Saya mengamalkan hidangan sama untuk anak-anak. Sekali-sekala saya beri kelonggaran kepada mereka untuk menikmati makanan ringan. Yang bagusnya mereka tidak suka makanan ringan," katanya.

SHEILA Majid. - Foto Mahzir Mat Isa
SHEILA Majid. - Foto Mahzir Mat Isa

Bersihkan solekan segera

Mengulas mengenai kemulusan kulit wajahnya, Sheila memastikan solekan dibersihkan setiap kali sebelum tidur, selain banyak minum air untuk mengekalkan kelembapan kulit.

"Saya pantang tidur dengan solekan kerana rasa tidak bersih. Saya bukanlah orangnya yang terlalu obses menjaga kecantikan, cuma akan pastikan memakai pelembap dan krim pelindung mata hari bagi menjaga kulit," katanya.

Beliau berkata, rutin kecantikan perlu dilakukan secara konsisten dan bukan menunggu kulit mengalami cela dan bintik, baru memikirkan kaedah dan cara perawatan.

"Setiap hari saya mengamalkan rutin penjagaan kecantikan secara sederhana tetapi konsisten. Saya melakukan rawatan wajah di pusat kecantikan untuk memelihara kulit sebulan sekali kerana sering bersolek tebal untuk sesi fotografi dan pertunjukan pentas," katanya.

PENERIMA Anugerah Sri Wirama, Datuk Sheila Majid pada Anugerah Industri Muzik 22 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). - Foto Saifullizan Tamadi
PENERIMA Anugerah Sri Wirama, Datuk Sheila Majid pada Anugerah Industri Muzik 22 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). - Foto Saifullizan Tamadi

INFO

  • Meningkatkan kecergasan dan tenaga di gimnasium terutama menjelang konsert besar.
  • Hanya bersarapan dengan yogurt.
  • Pastikan kombinasi menu yang betul.
  • Minum air kosong sebagai amalan sihat untuk tubuh.
Berita Harian X