Jumaat, 14 April 2017 | 12:01am

Nama Farawahida tenggelam tanpa lagu baharu

KUALA LUMPUR: Penyanyi Farawahida, 32, akur ketiadaan karya baharu membuatkan namanya sedikit tenggelam di arena seni hiburan tempatan, lebih-lebih lagi selepas mendirikan rumah tangga, tiga tahun lalu.

Begitupun, penyanyi yang dilahirkan dengan nama Farawahida Razali ini sama sekali tidak berasakan, perubahan status diri membuatkan dirinya tidak lagi menjadi sebutan peminat.

Begitupun, walau jarang kelibatnya dilihat di acara hiburan mahupun di media massa, beliau mengaku masih terus diundang menjayakan persembahan nyanyian.

"Benar, sejak berkahwin, nama saya kurang menjadi bahan berita. Saya senyap kerana tiada benda untuk diceritakan. Apatah lagi kebanyakan undangan persembahan nyanyian tidak membabitkan media.

"Bagaimanapun, saya bersyukur, meskipun nama kurang mendapat perhatian, kerjaya nyanyian saya belum pernah terputus. Setiap bulan, pasti ada undangan diterima.

PENYANYI, Farawahida atau nama sebenarnya Farawahida Razali. - Foto Aziah Azmee
PENYANYI, Farawahida atau nama sebenarnya Farawahida Razali. - Foto Aziah Azmee

FARAWAHIDA diijabkabulkan dengan ahli perniagaan dari Pulau Pinang, Abdul Shukur Mohd Zain, 33, pada penghujung 2013. - Foto Aziah Azmee
FARAWAHIDA diijabkabulkan dengan ahli perniagaan dari Pulau Pinang, Abdul Shukur Mohd Zain, 33, pada penghujung 2013. - Foto Aziah Azmee

"Jangan fikir saya sudah bersara pula. Saya masih di sini dan tidak merajuk dengan industri. Kalau bersara, saya tidak akan berada di sini," katanya kepada BH Plus.

Farawahida diijabkabulkan dengan ahli perniagaan dari Pulau Pinang, Abdul Shukur Mohd Zain, 33, pada penghujung 2013.

Penyanyi itu turut menyifatkan disiplin kerja dan sikap tidak cerewet mungkin membuatkan penganjur acara sering mengundang beliau mengadakan persembahan. Malah, sebahagiannya berulang kali menjemput beliau membuat persembahan pada majlis dianjurkan.

Sementara itu, enam tahun tanpa sebarang lagu baharu sejak muncul dengan Jangan Tanya Aku Lagi (2011), Farawahida bakal kembali tampil dengan single terkini berjudul Mengapa Harus Aku.

Farawahida berkata, penghasilan lagu itu bermula dengan ajakan rakannya, Alyah, untuk berduet. Ia tentu saja dianggapnya sebagai rezeki, selain merancakkan kembali aktiviti di bidang muzik.

FARAWAHIDA menyifatkan disiplin kerja dan sikap tidak cerewet mungkin membuatkan penganjur acara sering mengundangnya mengadakan persembahan. - Foto Aziah Azmee
FARAWAHIDA menyifatkan disiplin kerja dan sikap tidak cerewet mungkin membuatkan penganjur acara sering mengundangnya mengadakan persembahan. - Foto Aziah Azmee

SETIAP bulan pasti Farawahida ada undangan diterima meskipun namanya kurang mendapat perhatian. - Foto Aziah Azmee
SETIAP bulan pasti Farawahida ada undangan diterima meskipun namanya kurang mendapat perhatian. - Foto Aziah Azmee

"Februari lalu, Alyah mengajak saya untuk berduet dan saya anggap ia rezeki yang tidak mungkin saya tolak. Apatah lagi dapat bekerjasama dengan penyanyi yang sememangnya hebat.

"Alhamdulillah, proses rakaman juga berjalan dengan lancar dan kami membuat kemunculan pertama menyanyikan Mengapa Harus Aku pada program Mentor Milenia 2017, baru-baru ini. Tidak sangka ramai yang memberi maklum balas yang positif," katanya.

Farawahida turut berharap agar kemunculan semula menerusi lagu baharu itu, yang dijangka menemui peminat dalam masa terdekat, dapat menaikkan kembali namanya, seperti zaman kemuncaknya dulu.

Sekitar 2006, Farawahida tampil bersama album Tanpamu yang mendapat sambutan baik peminat sehingga namanya diumumkan sebagai pemenang kategori Artis Baharu Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2006.

"Insya-Allah, saya berharap masyarakat menerima saya dengan tangan terbuka dan masih ingat suara saya.

"Bagaimanapun saya perlu bekerja keras untuk mengukir nama kembali kerana pasti tidak ramai dalam kalangan generasi muda yang mengenali saya," katanya.

SEJAK berkahwin nama Farawahida kurang menjadi bahan berita. - Foto Aziah Azmee
SEJAK berkahwin nama Farawahida kurang menjadi bahan berita. - Foto Aziah Azmee

INFO: Farawahida

  • Dilahirkan dengan nama Farawahida Razali pada 19 Mac 1985 di Taiping, Perak.
  • Banyak lagu nyanyiannya dijadikan lagu tema drama dan filem.
  • Pernah melahirkan album Tanpamu Farawahida (2006); Semuanya Ada Di Sini (Mei 2007); Jangan Tanya Aku Lagi - Single Album (April 2011) dan Hayati Raya Sejati (Ogos 2011).

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X