Isnin, 24 April 2017 | 12:20am
ABU Bakar Mohd Amin mementingkan ketelitian ketika menghasilkan sebilah keris. - Foto Rozainah Zakaria
ABU Bakar Mohd Amin mementingkan ketelitian ketika menghasilkan sebilah keris. - Foto Rozainah Zakaria

Remaja 18 tahun jadi pembuat keris

KUALA TERENGGANU: Usaha mempertahankan khazanah warisan zaman-berzaman bukan perkara mudah jika tidak mendapat kerjasama pelbagai pihak terutama generasi masa kini.

Namun, bagi keluarga Awang Su Tukang Keris dari Pasir Panjang, rasa cinta terhadap senjata unik warisan masyarakat Nusantara yang mendalam, mendorong mereka meneruskan kesinambungan pembuatan alat mempertahankan diri itu hingga kini.

Pembuat keris, Abu Bakar Mohd Amin, 80, atau lebih dikenali sebagai Awang Su Tukang Keris Pasir Panjang, berkata minatnya yang mendalam pada seni pembuatan keris sejak kecil mendorongnya menurunkan kepakaran membuat senjata yang dijadikan alat kebesaran itu kepada anak dan cucunya.

"Saya berbangga, legasi pembuatan keris kini diteruskan cucu saya, Mohd Amin Kamal. Walaupun berusia 18 tahun dan masih belajar, dia (Amin) menunjukkan kesungguhan untuk mempelajarinya.

"Buat masa ini, Amin hanya menolong saya membuat keris pada hujung minggu kerana kesibukannya belajar," katanya kepada BH.

Abu Bakar berkata, beliau mula belajar membuat keris sejak berusia 16 tahun daripada datuknya sebelum arwah bapa pula menyambung legasi itu.

"Pada zaman dahulu, kebanyakan pembuat keris akan menuntut ilmu untuk mendapatkan kepakaran.

"Malah, tiada siapa yang dibenarkan masuk ke dalam tempat menghasilkan keris, hanya si pembuat keris sahaja boleh berada di bengkel mereka membuat kerja.

Abu Bakar Mohd Amin menunjukkan cara-cara membentuk dalam pembuatan sebilah keris. - Foto Rozainah Zakaria
Abu Bakar Mohd Amin menunjukkan cara-cara membentuk dalam pembuatan sebilah keris. - Foto Rozainah Zakaria

KERJA membuat keris bukan mudah kerana mementingkan kesabaran dan teknik. - Foto Rozainah Zakaria
KERJA membuat keris bukan mudah kerana mementingkan kesabaran dan teknik. - Foto Rozainah Zakaria

"Malah, kalau ada yang melanggar pantang, mereka mungkin menerima kesan buruk seperti muntah darah.

"Maklumlah, ilmu yang dipelajari masyarakat zaman dahulu banyak pantang larang kerana mereka mahu keris yang mereka buat mempunyai `kuasa' dan si pemakai keris kelihatan gagah dan digeruni," katanya.

Katanya, kebanyakan pembuat keris masa kini tidak mengamalkan pantang larang sedemikian kerana mereka membuat keris untuk mencari rezeki berbanding masyarakat dahulu yang mahukan ilmu pembuatan keris yang berpanjangan.

Beliau berkata, pernah diceritakan mengenai arwah datuknya dikatakan mengambil masa 17 tahun bagi menyiapkan sebilah keris.

"Ada pelanggan arwah datuk pernah datang menempah keris pada malam tujuh likur iaitu tujuh hari sebelum Syawal, bagi mendapat keberkatan malam berkenaan dan bagi menghasilkan keris yang 'kuat', datuk saya hanya akan menempa keris itu setiap kali tiba malam tujuh likur.

"Sebab itu keris itu mengambil masa lama untuk disiapkan kerana datuk hanya akan menempanya setahun sekali sahaja," katanya.

Menceritakan pengalaman manisnya dalam membuat keris, Abu Bakar berkata, dia pernah menempa keris sepanjang 152 sentimeter pada 1976.

"Saya mengambil masa selama dua bulan bagi menyiapkan keris setinggi lelaki dewasa dengan 51 luk (lekuk), berbanding keris biasa antara lima hingga tujuh luk dan sekadar sesuai disisip di pinggang.

KEMAHIRAN Abu Bakar Mohd Amin dalam pembuatan sebilah keris begitu terserlah. - Foto Rozainah Zakaria
KEMAHIRAN Abu Bakar Mohd Amin dalam pembuatan sebilah keris begitu terserlah. - Foto Rozainah Zakaria

MOHD Kamal Abu Bakar (kanan) dan Mohd Amin Mohd Kamal (kiri) membantu Abu Bakar Awang dalam menghasilkan pembuatan keris. - Foto Rozainah Zakaria
MOHD Kamal Abu Bakar (kanan) dan Mohd Amin Mohd Kamal (kiri) membantu Abu Bakar Awang dalam menghasilkan pembuatan keris. - Foto Rozainah Zakaria

"Penghasilan keris itu adalah satu usaha yang diabadikan sebagai tanda kecintaan saya terhadap simbol ketinggian budaya warisan kebanggaan bangsa. Alhamdulillah, keris `gergasi' itu kini ditempatkan di Muzium Negeri.

"Malah, rumah kami juga boleh dikatakan seakan-akan mini muzium kerana ia menempatkan lebih 1,000 keris daripada pelbagai jenis ada yang dijadikan bahan pameran dan ada juga yang dijual bermula pada harga antara RM100 dan RM50,000," katanya.

Sementara itu, Mohd Amin berhasrat menyambung legasi moyangnya supaya senjata warisan yang dijadikan simbol kebesaran Melayu itu tidak hilang bersama arus pembangunan.

"Memandangkan masih belajar di Kolej Vokasional Wakaf Tembesu, saya mengehadkan masa mempelajari pembuatannya. Di tambah pula, saya cukup teruja apabila apa yang saya pelajari di kolej terutama mengenai besi dan keluli mempunyai sedikit kaitan dengan cara pembuatan keris," katanya.

Anak keempat daripada lima beradik itu berkata, walaupun tidak begitu mahir membuat keris, dia bertekad mempelajari teknik lebih mendalam dengan datuknya.

"Membuat keris bukan mudah kerana memerlukan kesabaran dan teknik yang baik. Jadi, setiap kali membantu datuk, saya akan memerhati dengan teliti cara datuk menempa keris dan saya pula diajar cara untuk mengawal api dengan menggunakan musang.

"Insya-Allah, saya akan belajar dan berusaha lebih gigih dalam bidang pembuatan keris bagi memastikan legasi dipertahan," kata anak keempat daripada lima beradik itu.

ABU Bakar Mohd Amin atau lebih dikenali sebagai Awang Su Tukang Keris Pasir Panjang bersama anaknya, Mohd Kamal Abu Bakar dan cucunya Mohd Amin Kamal menunjukkan antara keris yang dihasilkan. - Foto Rozainah Zakaria
ABU Bakar Mohd Amin atau lebih dikenali sebagai Awang Su Tukang Keris Pasir Panjang bersama anaknya, Mohd Kamal Abu Bakar dan cucunya Mohd Amin Kamal menunjukkan antara keris yang dihasilkan. - Foto Rozainah Zakaria

INFO

  • 1,000 keris disimpan di rumah.
  • Pernah menghasilkan keris sepanjang 152 sentimeter pada 1976.
  • Keris dijual pada harga RM100 hingga RM50,000.
  • Keris turut dipamerkan di muzium.
Berita Harian X