Ahad, 7 Mei 2017 | 12:04am

Cuti berbulan madu dalam taman fantasi

VILA taman jadi pilihan pasangan pengantin baharu berbulan madu. - Foto Zunnur Al-Shafiq
VILA taman jadi pilihan pasangan pengantin baharu berbulan madu. - Foto Zunnur Al-Shafiq

BUAT pasangan pengantin baharu yang masih berkira-kira di manakah destinasi popular untuk berbulan madu atau pasangan suami isteri sedang mencari lokasi percutian yang tenang lagi mendamaikan bagi menyambut ulang tahun perkahwinan tidak perlu pergi jauh kerana memadai berada di The Banjaran di Ipoh, Perak.

Di sini, anda boleh melupakan vila mewah di Bali, Indonesia atau keluarkan saja senarai resort lima bintang di Phuket dan Krabi di Thailand yang dianggap destinasi percutian unggul.

Resort mewah di Ipoh itu ternyata menjanjikan ketenangan, kedamaian dan suasana taman fantasi yang selama ini mungkin dianggap tiada di tanah air sendiri.

MAKAN malam yang romantik turut disediakan di The Banjaran. - Foto Zunnur Al-Shafiq
MAKAN malam yang romantik turut disediakan di The Banjaran. - Foto Zunnur Al-Shafiq

Permata tersembunyi

Destinasi ini boleh dianggap sebagai 'permata' tersembunyi. Siapa sangka, di sebalik keriuhan taman tema popular yang terletak bersebelahannya dan kesibukan lalu-lintas di lebuh raya berdekatan, resort mewah yang dipagari bukit dan gua batu kapur serta kolam mata air panas berusia ratusan juta tahun ini, rupa-rupanya taman fantasi yang wujud di alam realiti!

Sebaik melangkah ke resort berkenaan, anda pasti berasakan diri seolah-olah memasuki dunia lain. Suasananya bertukar sekelip-mata kepada resort yang sangat tenang lagi mendamaikan, hanya kedengaran muzik perlahan irama romantik daripada pembesar suara yang disembunyikan di celah-celah pokok, gua dan bukit batu kapur!

MENIKMATI suasana indah di Geothermal Hot Springs Dipping Pool. - Foto Zunnur Al-Shafiq
MENIKMATI suasana indah di Geothermal Hot Springs Dipping Pool. - Foto Zunnur Al-Shafiq

Terbaik untuk bermeditasi

Pemandangan gua dan bukit batu kapur serta kolam mata air panas yang asli adalah aset utama tarikan pelancong ke resort berkenaan.

Bagi pengunjung yang mencari ketenangan dan menghilangkan tekanan dengan bertafakur, boleh bermeditasi, memikirkan sesuatu yang positif dengan mendalam dan penuh emosi di tepian air terjun di luar Gua Meditasi.

Pengunjung berendam dalam tab air panas dikenali Geothermal Hot Springs Dipping Pool yang berbeza kepanasannya. Waktu terbaik untuk mandi-manda sekitar awal pagi, sekali gus menyaksikan pemandangan indah apabila wap panas yang meluap dari dasar kolam mata air panas ini boleh dilihat dengan jelas.

Pemandangan bertambah pesona menjelang senja atau awal malam ketika anda dan pasangan menikmati makan malam romantik di pelantar terbuka atau Open Deck yang menyajikan pemandangan memukau hutan dan bukit batu kapur!

RESTORAN mewah Jeff's Cellar dibangunkan di dalam gua batu kapur. - Foto Zunnur Al-Shafiq
RESTORAN mewah Jeff's Cellar dibangunkan di dalam gua batu kapur. - Foto Zunnur Al-Shafiq

INFO

  • Hutan hujan tropika, mata air panas, gua batu kapur dan lata air terjun yang memagari persekitaran The Banjaran seluas 4.8 hektar itu wujud ratusan juta tahun lalu pada era dikenali zaman Permian.
  • Mendapan air tawar yang terlarut ratusan juta tahun membentuk formasi bukit batu kapur pada zaman purba era pertama, Paleozoic dan kini ia dikenali sebagai Gua Meditasi dan Gua Kristal.
  • Persekitaran bukit batu kapur turut dihiasi landskap resort atau melalui proses pemodenan paling minimum apabila 25 unit vila taman dan air serta kolam air panasnya, mampu menambat hati pengunjung.
  • Paling unik ialah pembinaan restoran mewah, Jeff's Cellar yang dibangunkan di dalam gua batu kapur The Banjaran! Lebih menarik keaslian atau formasi batu kapur berkenaan masih dikekalkan.
Berita Harian X