Ahad, 7 Mei 2017 | 12:06am
ERRA (kiri) tertarik dengan cara Ayda yang bersahaja dan begitu manja ketika melayani peminat. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Nasihat Erra untuk Ayda Jebat

KUALA LUMPUR: Melihat perjalanan kerjaya seni penyanyi dan pelakon bertubuh kecil molek, Ayda Jebat mengingatkan Erra Fazira kepada laluan awal yang ditempuhinya ketika membina nama lebih dua dekad lalu.

Turut bermula sebagai penyanyi, seterusnya disunting pengarah berkaliber, Datuk Yusof Haslam untuk membintangi Sembilu, Erra mengakui kagum dengan kemampuan bakat muda itu dalam usaha membina kredibilitinya.

Secara peribadi, pelakon yang pernah mendapat jolokan Primadona Filem Melayu itu melihat Ayda mempunyai potensi besar untuk terus mengecap kejayaan sekiranya bijak menyusun strategi mencuri hati peminat.

"Saya melihat kelebihan dalam diri Ayda, terutama bakat dan personaliti ceria yang dimilikinya. Saya tertarik dengan caranya yang bersahaja dan begitu manja ketika melayani peminat. Caranya menghargai orang sekeliling membuatkan saya kagum kerana persekitaran industri hiburan sudah berbeza.

PENYANYI dan pelakon, Ayda Jebat. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

"Kejujuran dan keikhlasannya itu menjadi antara faktor yang membuatkan Ayda terus disayangi peminat. Seandainya sikap positif itu dikekalkan, tidak mustahil Ayda mampu mengekalkan popularitinya merentas masa.

"Pada masa sama, Ayda juga harus bijak merencana perjalanan kerjayanya dengan memilih karya yang mencabar kredibiliti supaya seimbang. Itu paling utama, tetapi saya yakin masa akan mematangkan Ayda," katanya.

Tersipu menerima pujian daripada antara insan seni yang dikaguminya, Ayda yang terkenal dengan lagu Nakal Nakal Nakal itu berkata, perbandingan itu membuatkan dirinya berasa terlalu kerdil kerana jurang pencapaian antara mereka terlalu jauh.

Anak kelahiran Melaka yang melonjak populariti selepas membintangi drama rantaian, Rindu Awak 200 Peratus itu, mengakui, sering menjadikan Erra sebagai contoh dalam usahanya mengekalkan momentum sebagai insan seni.

ERRA masih bertahan dalam senarai Top 5, Pelakon Filem Wanita Popular, ABPBH 3.0. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

"Saya menghormati, malah mengagumi pencapaiannya. Selepas dua dekad, dia masih mampu mengekalkan popularitinya merentas masa. Ia bukan sesuatu yang mudah dan secara peribadi, saya sering tertanya-tanya mampukah saya bertahan sejauh itu.

"Saya juga kagum kerana sebagai bintang senior, kak Erra begitu bijak menjaga nama dan peribadinya. Sehingga hari ini, personalitinya begitu disenangi ramai. Saya mahu matang sepertinya dan disenangi ramai," katanya.

Populariti itu tanggungjawab

Mengecap populariti mungkin antara detik paling manis dalam kehidupan seseorang selebriti. Tetapi bagi Erra, ia hadir bersama tanggungjawab besar yang perlu dijaga sebaik mungkin kerana membawa amanah peminat.

Suka atau tidak, apabila sudah dikenali akan selalu ada mata yang memerhati setiap inci pergerakan. Prinsip Erra hanya satu, populariti wajar dicapai mengikut saluran yang betul dan berlandaskan bakat untuk memastikan ia bertahan lama.

ERRA (kiri) melihat kelebihan dalam diri Ayda, terutama bakat dan personaliti ceria yang dimilikinya. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

"Bagi saya, populariti yang sebenar apabila kita dikenali kerana bakat dan karya. Menerusi hasil kerja kita, peminat menerimanya dengan baik seterusnya membantu nama menjadi sebutan. Usah popular hanya bersandar kepada kontroversi yang sengaja dicipta atau terpalit dengan perkara tidak baik kerana semua itu hanya sementara," katanya.

Erra berkata, setiap perkara perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan ikhlas kerana hanya dari situ, khalayak akan dapat menilai sejauh mana seseorang serius dalam menyusun langkah mereka.

Bagi Erra yang masih bertahan dalam senarai Top 5, Pelakon Filem Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 3.0, tiada jalan pintas untuk membawa nama berada dalam kelompok popular selain memberikan sepenuh komitmen terhadap kerjaya sama ada dalam bidang nyanyian mahu pun lakonan.

"Sekiranya kita mengikut landasan yang betul, meskipun perjalanan itu memakan masa, insya-Allah nama kita akan bertahan. Kejayaan yang dicapai hasil usaha keras akan membawa makna yang besar kepada kita," katanya.

ERRA (kiri) melihat Ayda mempunyai potensi besar untuk terus mengecap kejayaan sekiranya bijak menyusun strategi mencuri hati peminat. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

ABPBH pemangkin kerjaya Ayda

Sejarah Ayda bersama ABPBH bermula pada edisi ke-28 apabila mengungguli kategori Artis Baharu Wanita Popular, seterusnya mempertahankan namanya dalam barisan Top 5 acara berprestij itu. Untuk ABPBH 3.0, Ayda berbangga dengan dua pencalonan kategori utama iaitu Pelakon TV Wanita Popular dan Penyanyi Wanita Popular.

Namanya juga membolosi dalam dua kategori sampingan iaitu Gandingan Serasi Drama bersama Sharnaaz Ahmad menerusi Awak Sangat Nakal selain Artis Berpengaruh Di Laman Sosial.

"Saya memang terhutang budi dengan ABPBH kerana banyak membantu kerjaya seni saya. Undian dan pilihan peminat membuatkan seseorang artis itu diterima baik serta mendapat kepercayaan banyak pihak.

"Saya juga sentiasa berusaha untuk memberikan yang lebih baik setiap kali menang sebagai penghargaan kepada mereka yang mengundi dan memilih saya," katanya.

Ayda memaklumkan, bakal tampil dengan single balada tidak lama lagi selepas tiga lagu nyanyiannya sebelum ini terarah kepada genre rancak.

"Ketika ini, saya dan pengurusan mempunyai beberapa lagu yang sudah disenarai pendek dan bakal memulakan proses rakaman tidak lama lagi. Saya mahu mencuba sesuatu yang baharu dan lagu balada ini akan menyerlahkan kemampuan saya dari segi vokal," katanya sedang berdebar menanti kemunculan filem sulung lakonannya bersama Shaheizy Sam dan Farid Kamil iaitu Pinjamkan Hatiku.

INFO

  • Erra kagum dengan cara Ayda yang bersahaja dan manja ketika melayani peminat.
  • Ayda harus bijak merencana perjalanan kerjaya dengan memilih karya yang mencabar kredibiliti.
  • Ayda bakal tampil dengan single balada tidak lama lagi.
  • Ayda mengakui terhutang budi dengan ABPBH kerana banyak membantu kerjaya seni.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X