Ahad, 7 Mei 2017 | 12:12am
RINA juga minat sukan mendaki gunung, basikal bukit (MTB) dan marathon. - Foto Owee Ah Chun
RINA juga minat sukan mendaki gunung, basikal bukit (MTB) dan marathon. - Foto Owee Ah Chun

Doa untuk kejayaan Rina

[email protected]

KEPONG: Kesibukan tugas sebagai pegawai bank, bukan penghalang kepada Faherina Mohd Esa atau Rina, 35, dari Bandar Saujana Putra, Jenjarom, Selangor, bergiat aktif dengan sukan lasak, Climbathon dan Ultra Trail Run iaitu larian melebihi jarak 100 kilometer (km).

Rina jatuh hati dengan sukan lasak (berbasikal, mendaki gunung, berkayak, berlari, orienteering dalam satu perlumbaan) dan Ultra Trail Run sambil mendaki bukit dan meredah hutan belantara kerana ia memerlukan kemahiran dan teknik tersendiri serta membolehkannya mendekatkan diri dengan alam semula jadi.

Sebelum bergiat aktif dan jatuh cinta dengan sukan lasak (Adventure Race), Climbathon dan Ultra Trail Run, Rina minat sukan mendaki gunung, basikal bukit (MTB) dan marathon.

RINA bergiat aktif dengan sukan lasak, Climbathon dan Ultra Trail Run iaitu larian melebihi jarak 100km. - Foto Owee Ah Chun
RINA bergiat aktif dengan sukan lasak, Climbathon dan Ultra Trail Run iaitu larian melebihi jarak 100km. - Foto Owee Ah Chun

"Pada peringkat awal, saya hanya menyertai acara larian jarak dekat seperti Shape Night Run, KL Rate Race, Firefighter Half Marathon dan Nilai Half Marathon pada 2015 untuk membiasakan diri perlumbaan berkenaan.

"Selepas menimba pengalaman dan mempelajari teknik betul saya kemudian mengambil keputusan menyertai perlumbaan lebih mencabar termasuk Gopeng Ultra Trail Run 2017; Bromo Tengger Semeru Trail Run 100Km 2016; Larian Mendaki Gunung Kinabalu 2016; Cameron Highlands Ultra Trail Run 100Km 2016; Merapoh Trail Run 100Km 2016.

"Saya rasa larian redah hutan atau 'trail run' ini memang kena dengan jiwa kerana memang sukakan pemandangan menarik, kehijauan hutan dan keindahan alam semula jadi," katanya akan berlari bersama 3,000 peserta lain di DITR 2017 di Batu Arang, Selangor pagi ini (Ahad 7 Mei 2017).

PENGARAH Urusan Universal Fitness & Leisure Sdn Bhd (UFL), Datuk Radha Krishnan (lima dari kanan); Pengerusi Eksekutif UFL, Datuk Abdul Malek Md Noor (tiga dari kiri) dan Ketua Pegawai Operasi UFL, Theresa Leong (dua dari kiri) dan Timbalan Exco Pelancongan Negeri Selangor, Gan Pei Nei (empat dari kiri) bergambar bersama pemenang tahun lalu Mohammad Affindi Nudin (kiri) dan Rina (kanan) selepas melancarkan Deuter International Trail Run 2017 di Wisman UFL, Kepong. - Foto Owee Ah Chun

Tubuh mesti kuat

Bagaimanapun, Rina berkata, sebelum terbabit dengan sukan lasak seperti Adventure Race atau Ultra Trail Run setiap individu mestilah belajar teknik larian dan mengetahui risiko bakal dihadapi mereka selain bersedia dari segi fizikal dan menta yang tinggi, malahan kekuatan rohani iaitu semangat dalaman dan jati diri yang mantap amatlah di perlukan.

"Jika kita mahu menyertai sukan lasak atau ultra trail run kita mestilah mempunyai kekuatan tubuh badan yang baik terutama kaki dan buku lali kerana kita perlu berlari jauh, meredah hutan dan jangan tersilap langkah ketika berlari kerana ia boleh menyebabkan kecederaan.

"Saya akan cuba cari masa sesuai dengan mendaftar larian jarak dekat atau berbasikal sebagai latihan atau mendaki bukit atau gunung di hujung minggu kerana sibuk bekerja," katanya yang mengimpikan kedudukan terbaik bagi DITR 2017 hari ini.

JUARA tahun lalu kategori wanita Deuter International Trail Run 2017, Faherina Mohd Esa. - Foto Owee Ah Chun
JUARA tahun lalu kategori wanita Deuter International Trail Run 2017, Faherina Mohd Esa. - Foto Owee Ah Chun

Profil:

Nama: Faherina Mohd Esa

Tarikh lahir: 27 September 1982

Umur: 35 Tahun

Asal: Bandar Saujana Putra, Jenjarom, Selangor.

Kerjaya: Pegawai Bank

Pencapaian Terbaik:

  • Inov8 Trail Run 2017 - juara wanita terbuka
  • Gopeng Ultra Trail Run 2016 (100Km) - tempat kedua wanita terbuka
  • Lexicon Cyberjaya Duathlon 2016 - Juara wanita terbuka
  • Night Duathlon Cyberjaya 2016 - juara wanita terbuka
  • Bromo Tengger Semeru Trail Run 100Km - tempat keempat wanita terbuka
  • Larian Mendaki Gunung Kinabalu 2016 - ke-10 wanita terbuka
  • Cameron Highland Ultra Trail Run 2016, 100km - ketiga wanita terbuka
  • Merapoh Trail Run 2016, 100km - naib juara wanita terbuka
  • Kluang Adventure Challenge - naib juara terbuka berkumpulan
  • Rembau Challenge 2016 - naib juara terbuka berkumpulan
  • Port Disckson Iron Bound 2016 - naib juara terbuka berkumpulan
Berita Harian X