Selasa, 9 Mei 2017 | 12:21am
TIMBALAN Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed. - Foto Hairul Anuar Rahim
TIMBALAN Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed. - Foto Hairul Anuar Rahim

Rujuk pihak berkuasa sebelum kahwin warga asing

 

KUALA LUMPUR: Wanita tempatan mengahwini buruh warga asing yang tidak mematuhi syarat dan prosedur perkahwinan ditetapkan Jabatan Imigresen, boleh dikenakan tindakan melindungi pendatang tanpa izin (PATI).

Ini kerana, buruh asing yang berkahwin tanpa mematuhi syarat terbabit, menyebabkan Permit Lawatan Kerja Sementara (PLKS) mereka terbatal secara automatik dan perlu meninggalkan negara ini serta-merta.

Tindakan menyembunyi atau melindungi PATI adalah menyalahi Seksyen 55E(1) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002), sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun dan enam sebatan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed, berkata wanita tempatan yang mahu berkahwin dengan buruh asing, seharusnya merujuk kepada Jabatan Imigresen, bagi mengelakkan sebarang masalah berbangkit.

"Ini kerana apabila pemegang PLKS berkahwin dengan wanita tempatan, secara automatik permit kerja itu akan terbatal dan buruh asing berkenaan perlu meninggalkan negara ini serta-merta.

"Justeru itu, wanita tempatan yang mahu dikahwini oleh buruh asing, wajar merujuk dengan pihak berkuasa," katanya kepada BH semalam.

ANGGOTA polis menahan seramai 31 pendatang asing tanpa izin (PATI) selepas didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dalam enam serbuan berasingan di Luyang dan Sepanggar. - Foto Mohd Ruzaimi Zulkepli
ANGGOTA polis menahan seramai 31 pendatang asing tanpa izin (PATI) selepas didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dalam enam serbuan berasingan di Luyang dan Sepanggar. - Foto Mohd Ruzaimi Zulkepli

Beliau mengulas pendedahan BH mengenai buruh asing mengambil kesempatan berkahwin dengan wanita tempatan ekoran ketidakseragaman syarat Jabatan Agama Islam mematuhi prosedur standard operasi (SOP) berhubung proses perkahwinan berkenaan.

Nur Jazlan berkata, buruh asing yang melanggar syarat imigresen berkaitan perkahwinan itu, boleh disenarai hitamkan daripada memasuki negara ini, sama ada sebagai pekerja atau pelancong pada masa akan datang.

"Saya difahamkan, warga asing mengahwini wanita tempatan semata-mata untuk mendapatkan pas jangka panjang bagi membolehkan mereka tinggal lebih di negara ini.

"Justeru, jika siasatan mendapati warga asing berkenaan terbukti melakukan penipuan dalam proses perkahwinan mereka, KDN boleh membatalkan pas jangka panjang itu," katanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan wujud kelompangan dalam prosedur perkahwinan membabitkan warga asing dan tempatan di bawah kawal selia Jabatan Agama Islam, menjadi punca isu itu timbul.

"KDN akan menyemak semula syarat PLKS, pas lawatan sosial dan pas jangka panjang, supaya tidak dieksploitasi warga asing untuk berkahwin rakyat tempatan supaya mereka tidak terus menjadi mangsa," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali, mengakui ada warga asing mengahwini rakyat tempatan untuk tujuan tertentu, termasuk mendapatkan kerakyatan, memudahkan urusan dokumentasi dan tinggal lebih masa.

DATUK Seri Mustafar Ali. - Foto Saddam yusoff
DATUK Seri Mustafar Ali. - Foto Saddam yusoff

Menamakan penipuan itu sebagai 'marriage of convenience', beliau berkata, pihaknya menerima pelbagai kes seumpama itu membabitkan warga asing apabila berkahwin dengan rakyat negara ini untuk memperoleh kelebihan tertentu.

Beliau berkata, pihaknya sudah merangka beberapa mekanisme terbaik untuk mengatasi perkara berkenaan supaya tidak menjadi kebimbangan pada masa depan.

"Antara kes biasa kita terima ialah warga asing yang lebih muda berkahwin dengan wanita berusia antara 48 tahun hingga 54 tahun, untuk mendapatkan status kerakyatan.

"Mereka akan menghantar permohonan (status kerakyatan) kepada Jabatan Imigresen tetapi apabila kita semak, status suami isteri itu meragukan, malah tidak duduk serumah pun.

"Begitu juga kes membabitkan permohonan mahu masuk berkerja di sini. Mereka yang menjadi mangsa adalah rakyat tempatan kerana imigresen juga menerima laporan selepas berkahwin, rakyat tempatan ini akan ditinggalkan atau dicerai," katanya.

Sementara itu, penganalisis bebas, Shahul Hamid Abdul Rahim, mencadangkan pangkalan data mengenai maklumat dan status terkini warga asing diwujudkan bagi mengelakkan isu rakyat tempatan diperdaya dan ditindas.

Katanya, sistem berkenaan penting bagi membolehkan sesiapa sahaja menyemak status kemasukan, senarai hitam, pekerjaan, latar belakang, status perkahwinan, keluarga dan segala maklumat berkaitan.

Beliau berkata, keperluan sistem maklumat terbuka berasaskan internet ini bagi menjamin maklumat tepat diterima rakyat tempatan tertakluk kepada tujuan semakan, contohnya untuk mengetahui status pekerjaan sebelum ini atau perkahwinan ke berapa yang didaftarkan sama ada di negara ini atau negara asal.

"Bagi yang mahu berkahwin, orang ramai boleh menganalisis rekod sama ada pasangan yang ingin dikahwini tidak terbabit jenayah, bukan masuk sebagai pendatang asing tanpa izin dan bukan isteri orang," katanya.

ANGGOTA polis menahan seramai 31 pendatang asing tanpa izin (PATI) selepas didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dalam enam serbuan berasingan di Luyang dan Sepanggar. - Foto Mohd Ruzaimi Zulkepli
ANGGOTA polis menahan seramai 31 pendatang asing tanpa izin (PATI) selepas didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dalam enam serbuan berasingan di Luyang dan Sepanggar. - Foto Mohd Ruzaimi Zulkepli

INFO: Prosedur perkahwinan buruh asing dengan rakyat tempatan

  • Buruh asing perlu pulang ke negara asal dan kembali ke negara ini selepas tempoh enam bulan
  • Memohon kemasukan menggunakan Pas Lawatan Sosial
  • Mendapat kebenaran daripada kedutaan negara asal
  • Melengkapkan dokumen ditetapkan Jabatan Imigresen dan jabatan agama negeri.

Berita Harian X