Khamis, 25 Mei 2017 | 12:02am

Puisi Darma akrab tradisi sufi

RINTIK-RINTIK Huruf karya penyair mapan kelahiran Kelantan, Darma Mohammad ini boleh diibaratkan kumpulan puisi menyimpan keilmuannya yang terbentuk lewat pandangan alam Islam sufistik yang kemudian menjadi hujan kata-kata yang dapat menyuburkan ranah rohani pembaca.

Simbol yang akrab dalam tradisi puisi sufi seperti burung, bunga dan pohon memang akan ditemui dalam puisi Darma yang merdu.

Bagaimanapun, ada imej yang sangat kuat memagut pembacaan kita dan terasa asli daripada penyair sendiri seperti 'Ular menyusur banir / tanpa kaki tanpa tangan / Engkau bakal menyusur / titian sirat / tanpa amalan.'

Konsep wujud yang dihuraikan daripada pandangan alam Islam berdasarkan pemahaman golongan sufi yang benar dan holistik semakin terserlah seperti dalam puisinya, Cahaya, manakala puisi Wujud pula menyerlahkan tauhid seperti pemahaman orang sufi.

Cahaya dan bayang sememangnya menjadi metafora dalam menjelaskan hakikat wujud dan tauhid termasuk dalam tradisi sufi di alam Melayu.

Begitu juga dengan alam yang banyak menjadi ayat Tuhan yang menunjukkan kepada kewujudan Yang Maha Esa, tetapi pada masa menjadi hijab sehingga insan menjadi lali dan lalai.

Pengamatan halus tradisi Melayu

Dalam konteks tradisi Melayu pula, pengamatan yang halus pada alam yang dimiliki oleh bangsa ini diungkapkan dengan indah oleh Darma seperti puisinya, Ketentuan.

Pada umumnya juga puisi yang terkandung dalam kumpulan ini terdiri daripada dua komposisi, iaitu perlambangan dan jawapan atau saranan yang mengandungi pesan atau nasihat.

Bagaimanapun, komposisi kedua bukanlah pesan atau nasihat biasa yang lazim kita temui dalam puisi berunsurkan Islam, sebaliknya ia terungkap selepas direnung dengan mata batin.

Puisi dalam kumpulan ini bersifat pendek sehingga ada kalanya masih memerlukan perhalusan yang lebih berseni, terutama dalam konteks bahasa yang puitis.

Puisi padat, tarik pembaca

Bentuk yang ringkas tetapi padat itu tentu mengingatkan pembaca terhadap keutamaan yang dimiliki oleh Rasulullah SAW, iaitu sifat jawami' al-kalim (ekspresi bahasa padat dan makna yang luas) dalam berbicara yang kemudiannya 'diwarisi' oleh tokoh besar tasawuf seperti Ibnu Ata'illah As-Sakandari dan Sheikh Ahmad Zaruq.

Sudah tentu ia bukanlah suatu perbandingan yang adil, tetapi sedikit sebanyak keunggulan bahasa itu cuba dipinjam oleh pengarang kumpulan ini sebagai keindahan bentuk dan makna.

Pada sisi lain, karya Darma menggambarkan rintik hujan yang turun sebelum ia menjadi lebat seperti yang kita harapkan juga akan ada karya baharu yang dihasilkan oleh penyair yang pernah memberikan sumbangan kepada khazanah kepustakaan Melayu dengan membawa karya Maulana Jalaluddin Rumi.

Info

  • Penulis: Darma Mohammad
  • Halaman: 102
  • Penerbit: Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM)

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X