Jumaat, 26 Mei 2017 | 12:03am

Hakikat balasan pahala, dosa

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menganiaya (seseorang) sekalipun seberat zarah (debu). Dan kalaulah (amal yang seberat zarah) itu amal kebajikan, nescaya akan menggandakannya dan akan memberi, dari sisi-Nya, pahala yang amat besar." (Surah an-Nisa, ayat 40)

Allah SWT memberikan balasan-Nya dengan adil, sesiapa berbuat dosa sebesar zarah maka balasan terhadapnya juga sebesar zarah dan sesiapa berbuat kebajikan, Allah SWT tidak hanya membalas, tetapi menambahkan balasan daripada rahmat-Nya dengan gandaan tidak terkira.

Pembalasan Allah SWT akan disempurnakan dengan seadil-adilnya. Ini menunjukkan adanya dorongan kuat terhadap orang yang melakukan kebajikan dan berdasarkan keterangan ayat, pembalasan ini bersifat umum kepada mukmin atau kafir.

Persoalan yang berbangkit ialah adakah ayat ini bermakna orang kafir juga mendapat balasan pahala pada amal kebajikan yang mereka kerjakan, sekalipun mereka tetap dengan kekufuran dan kesesatannya?

SESUNGGUHNYA Allah SWT tidak menzalimi orang mukmin pada kebajikan yang dilakukannya di dunia dan dibalas kepadanya di akhirat. - Foto hiasan
SESUNGGUHNYA Allah SWT tidak menzalimi orang mukmin pada kebajikan yang dilakukannya di dunia dan dibalas kepadanya di akhirat. - Foto hiasan

Balasan kebajikan

Jumhur ulama berpendapat, Allah SWT tidak mengampuni dosa syirik orang kafir, tetapi diberi kepada mereka balasan baik di dunia atas amalan kebajikan mereka, sedangkan orang mukmin dikurniakan balasan kebaikan di dunia dan akhirat.

Mereka berhujah dengan sabda Nabi SAW: "Sesungguhnya Allah SWT tidak menzalimi orang mukmin pada kebajikan yang dilakukannya di dunia dan dibalas kepadanya di akhirat. Adapun orang kafir, diberi makan kepadanya dengan sebab kebajikan yang dikerjakannya di dunia kerana Allah. Apabila amalan ini dibawanya ke akhirat, tiada lagi amal kebajikan yang perlu dibalas baginya." (Riwayat Muslim)

Muhammad Ahmad Mustafa Abu Zahrah ketika mengulas hadis ini menghubungkan kemewahan dicapai orang kafir di dunia ada kemungkinan disebabkan amal kebajikan mereka dalam bidang kemanusiaan dan usaha mendapatkan rezeki mengikut saluran undang-undang.

Riwayat menyebutkan juga kisah Abu Lahab yang diringankan seksaannya dalam neraka kerana beliau memerdekakan hamba perempuannya iaitu Thuwaibah pada hari keputeraan Nabi SAW.

Dosa kufur kekal

Ada juga pendapat menyatakan amal kebajikan orang kafir akan menebus semua dosa mereka kecuali syirik dan kufur. Ini bermakna dosa kufur dikekalkan tetapi dosa selainnya diampuni mengikut amal kebajikan yang ada.

Pendapat ini dianggap tidak bertentangan dengan prinsip asas dalam Islam. Namun, pendapat jumhur lebih kuat sandarannya. Keadilan Ilahi pada pembalasan terhadap dosa dan pahala dilimpahi rahmat dan kasih sayang.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!" (Surah al-Zalzalah, ayat 7-8)

Allah SWT menegaskan sesiapa yang masih lagi terjerumus dalam bahaya selepas menerima kebenaran bererti dia sendiri yang melakukan kezaliman kerana Allah SWT tidak menzalimi seseorang pun.

Allah SWT menyatakan bahawa Dia tidak akan mengurangi sedikit pun pahala amalan seseorang walaupun seberat zarah, bahkan perbuatan yang baik akan ditambah pahala kebaikannya. Akan tetapi, orang yang berbuat dosa akan diberikan hukuman yang setimpal.

Pahala ikut usaha

Pahala tidak diberi kepada orang yang tidak membuat kebajikan kerana pemberian pahala berdasarkan usaha. Oleh itu, orang yang melakukan dosa tidak mempunyai harapan untuk memperoleh pahala.

Allah SWT tidak akan mengurangi pahala seseorang dan pembalasan akan disempurnakan-Nya. Begitu juga Allah SWT tidak akan menyeksa orang yang tidak sepatutnya menerima seksaan kerana pahala dan seksaan adalah hasil amal yang memberi kesan baik atau kotor terhadap jiwa.

Perbuatan itu ada yang akan mengangkat jiwa manusia ke martabat paling tinggi dan ada pula yang menjatuhkannya ke tingkat paling bawah. Justeru, tingkat dan berat sesuatu pembalasan telah ada ketentuan terhadap diri yang tidak diketahui secara lanjut kecuali oleh Allah SWT.

Manusia dikurniakan perasaan yang dapat mengetahui apa yang tidak dapat disentuh. Mereka turut diberi syariat agama dan peraturan yang tidak dapat diketahui semata-mata berdasarkan akalnya, supaya mendapat petunjuk yang menjaga kemaslahatan mereka.

Penulis ialah Perunding Motivasi Islam Fitrah Power Resources.

Berita Harian X