Sabtu, 27 Mei 2017 | 12:14am
PEMAIN biola profesional, Alexander Souptel (kiri) memberi tunjuk ajar cara mengendalikan alat muzik itu kepada pelajar SMK Kota Merudu. - Foto Izhari Ariffin
PEMAIN biola profesional, Alexander Souptel (kiri) memberi tunjuk ajar cara mengendalikan alat muzik itu kepada pelajar SMK Kota Merudu. - Foto Izhari Ariffin
SUIN Ming Tosong, 19, (kiri) bersama rakannya Henokh Yedija Mawilis, 20, (kanan) serta Elihu Edrei Mawilis, 17, (tengah) ketika membuat latihan di Balai Seni Lukis Sabah, di Kota Kinabalu. - Foto Izhari Ariffin

Anak petani sudah sepentas pemuzik profesional

KOTA KINABALU: Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Mereka tinggal jauh di pedalaman yang tertinggal daripada arus pemodenan, namun ia bukanlah halangan bagi tiga anak muda dari daerah Pitas, belajar menguasai alat muzik secara profesional.

Pemuzik muda berkenaan Suin Ming Tosong, 19; Henokh Yedija Mawilis, 20; dan adiknya Elihu Edres, 17, sanggup meninggalkan kampung halaman masing-masing sejauh kira-kira 185 kilometer (km) untuk belajar bermain biola dengan menyertai kumpulan Sky Community Strings Orchestra (SCSO).

Lebih membanggakan, tiga anak petani terbabit beraksi di pentas sama dengan pemuzik profesional ketika membuat persembahan sempena Sabah Fest 2017 di Auditorium Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sabah, baru-baru ini.

Mereka turut mempersembahkan muzik latar dan muzik tema dalam teater 'Supirak', iaitu kisah legenda masyarakat Pitas di festival yang turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Semuanya bermula apabila mereka bermain alat muzik itu sekadar mengisi masa lapang, ketika menetap di asrama Sky Community beberapa tahun dahulu.

Suin Ming berkata, dia mula bermain alat muzik empat tahun lalu di asrama Sky Community yang disediakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menempatkan pelajar luar bandar yang berdepan kesukaran untuk bersekolah di pekan Pitas dan Kota Marudu.

"Pendidikan muzik adalah salah satu aktiviti yang boleh dipilih penghuni asrama berkenaan. Dari situ saya mula tertarik mempelajari alat muzik selepas melihat pelajar lain berlatih secara orkestra di asrama," katanya kepada BH.

SUIN Ming Tosong (dua dari kiri) bersama dua rakannya bertuah mendapat sentuhan tunjuk ajar daripada pemain biola profesional, Alexander Souptel (kiri).
SUIN Ming Tosong (dua dari kiri) bersama dua rakannya bertuah mendapat sentuhan tunjuk ajar daripada pemain biola profesional, Alexander Souptel (kiri).

PEMAIN alat muzik Violin, pelajar dari SMK Kota Marudu, Suin Ming Tosong, 19, (tengah) bersama rakannya Henokh Yedija Mawilis, 20, (kanan) serta Elihu Edrei Mawilis, 17, bergambar bersama selepas membuat latihan di Balai Seni Lukis Sabah, di Kota Kinabalu. - Foto Izhari Ariffin

Memilih biola sebagai instrumen utama, Suin Ming berkata, dia memang tidak memiliki sebarang asas muzik dan terpaksa bekerja keras mempelajari cara bermain alat berkenaan sehingga mahir.

"Saya berpendapat ini adalah peluang yang tidak patut dilepaskan kerana bukan senang memperoleh ilmu muzik yang diberikan secara percuma oleh tenaga pengajar.

"Semakin hari, saya melihat rezeki dalam bidang ini kian luas dan sekarang mengikuti latihan untuk bergelar tenaga pengajar di Jesselton Philharmonic Orchestra (JPO) di Kota Kinabalu," kata anak kedua daripada lima beradik itu yang berasal dari Kampung Mandoi, Pitas.

Rakannya, Henokh Yedija dari Kampung Kalibungan, Pitas dan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Marudu 2, berkata dia mula mempelajari alat muzik yang sama selepas memasuki asrama berkenaan ketika berusia 16 tahun pada 2013.

Minatnya terhadap biola sudah lama namun hanya mampu melihat cara bermain alat muzik berkenaan menerusi YouTube.

"Alunan muzik violin yang mendamaikan membuat saya mahu mempelajari alat muzik itu ke peringkat lebih tinggi. Mendengar gesekan violin ini ibarat terapi buat diri saya ditambah melodinya yang indah boleh membuatkan diri menjadi tenang.

"Saya bersyukur diberi peluang mempelajari violin apabila masuk ke asrama Sky Community. Di sana, saya banyak belajar dan diberi peluang membuat persembahan berskala besar," katanya yang gemar bermain biola dalam rentak pop dan klasik.

PASANGAN duet Alexander Souptel (kiri) bersama Masako Suzuki White ketika persembahan yang diiring oleh kumpulan orkestra Jesselton Philharmonic Orchestra (JPO) ketika persembahan pada Sabah Fest 2017 di Auditorium JKKN Sabah, Kota Kinabalu. - Foto Mohd Adam Arinin

 KUMPULAN orkestra Jesselton Philharmonic Orchestra (JPO) semasa mempersembahkan lagu pada Sabah Fest 2017 di Auditorium JKKN Sabah, Kota Kinabalu. - Foto Mohd Adam Arinin
KUMPULAN orkestra Jesselton Philharmonic Orchestra (JPO) semasa mempersembahkan lagu pada Sabah Fest 2017 di Auditorium JKKN Sabah, Kota Kinabalu. - Foto Mohd Adam Arinin

Turut menonjolkan bakat menerusi Sky Community Strings Orchestra bagi membuat persembahan sempena Sabah Fest 2017 lalu itu ialah adik Henokh Yedija, Elihu Edres, 17.

Sementara itu, Pengasas JPO, Yap Ling berkata, semua bakat pelajar muzik di bawah kendaliannya dicungkil daripada Program JPO Outreach, iaitu antara inisiatif untuk mencari pemuzik muda berbakat besar dari luar bandar untuk diketengahkan sebagai pemuzik profesional.

"Kita bukan sahaja mengajar dan melatih bermain alat muzik, malah membawa mereka mengadakan persembahan berskala besar sebagai pendedahan.

"Baru-baru ini, kita mempelawa 10 pemuzik terdiri daripada pelajar luar bandar bagi mengadakan persembahan sempena Sabah Fest 2017.

"Pastinya mereka bukan sahaja mendapat pengalaman baharu, malah mampu belajar berinteraksi bersama pemuzik senior serta penonton setiap kali membuat persembahan pentas," katanya.

Ling berkata, beliau juga sudah melatih beberapa pelajar muzik luar bandar yang berpotensi untuk dijadikan tenaga pengajar berkaitan alat muzik masing-masing di bawah JPO.

Lebih 400 penonton hadir menyaksikan 13 lagu yang dipersembahkan JPO yang menampilkan 50 pemuzik tempatan di Auditorium JKKN sempena Sabah Fest 2017.

Antara lagu dimainkan ialah Nella Fantasia, The Prayer, Butterfly Lover, Tempatkan Ku, Takkan Pernah Menjauh dan Phantom Of The Opera.

Turut hadir menyaksikan persembahan itu ialah Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Masidi Manjun; Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah, Datuk Joniston Bangkuai dan Pengurus Besar Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS), William Baya.

LAGU tema Sabah Fest 2017, Takkan Pernah Menjauh, nyayian Mohd Afiq (kiri) dan Marllenney Fane JL. Paul diiring oleh kumpulan orkestra Jesselton Philharmonic Orchestra (JPO) pada Sabah Fest 2017 di Auditorium JKKN Sabah, Kota Kinabalu. - Foto Mohd Adam Arinin

INFO - Persembahan JPO Sempena Sabah Fest 2017

  • 50 pemuzik terbabit mengadakan persembahan 
  • 10 pelajar muzik luar bandar ditampilkan
  • Pertama kali JPO mengadakan persembahan sempena Sabah Fest.
  • 400 penonton 

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X