Jumaat, 2 Jun 2017 | 12:03am

Segera mohon keampunan, perbaiki diri

UMAT Islam terpesong daripada kebenaran tidak wajar tangguhkan taubat. - Foto Danial Saad
UMAT Islam terpesong daripada kebenaran tidak wajar tangguhkan taubat. - Foto Danial Saad

FIRMAN irman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menganiaya (seseorang) sekalipun seberat zarah (debu). Dan kalaulah (amal yang seberat zarah) itu amal kebajikan, nescaya akan menggandakannya dan akan memberi, dari sisi-Nya, pahala yang amat besar." (Surah an-Nisa, ayat 40)

Semangat perlumbaan untuk mendapat keampunan dan kebaikan hanya tercetus kepada yang memahami hakikat kehidupan tempat mencari bekalan bertemu Allah SWT. Perlumbaan itu merujuk kepada melakukan ketaatan, amal soleh dan bertaubat secara berterusan.

Agama memandang tinggi pekerjaan duniawi dan meletakkannya sebagai ibadah serta jihad di jalan-Nya jika dilakukan dengan ikhlas, selagi pekerjaan itu tidak menghalangi kita daripada mengingati Allah SWT.

Usaha dan pekerjaan membantu kita menegakkan agama dan memenuhi keperluan keluarga serta orang yang memerlukan. Demikianlah sikap yang perlu ada pada setiap Muslim dalam memahami hakikat kehidupan ini.

Orang yang terbaik ialah orang yang mampu memberi manfaat kepada orang lain. Justeru, bekerja dan berusaha bersungguh-sungguh bukan sekadar kewajipan, tetapi tuntutan supaya dilakukan dengan baik serta tekun.

Teliti, tekun bekerja

Bekerja dengan teliti dan tekun adalah satu bentuk kefarduan agama. Sabda Rasulullah SAW: "Sesungguhnya Allah suka jika salah seorang daripada kamu melakukan sesuatu pekerjaan ia melakukannya dengan baik dan teliti." (Riwayat Baihaqi)

Pekerjaan bukan sahaja penting bagi individu, juga untuk kemaslahatan masyarakat. Oleh itu, banyak nas agama menyeru dan menggesa manusia berusaha dan bekerja keras sehingga ia menjadikannya setaraf dengan solat, sedekah serta jihad di jalan Allah SWT.

Justeru, tidak patut seorang Muslim hidup dengan cara meminta-minta tanpa berusaha. Bekerja dapat menjaga maruah diri daripada meminta-minta dan pada masa sama memuliakan tangannya supaya tidak selama-lamanya berada di bawah.

Tiada kebaikan kepada mereka yang berlumba-lumba mengejar dunia semata-mata dan meninggalkan manhaj Allah SWT. Mereka hanya akan menimbulkan konflik, kerosakan dan huru-hara di atas muka bumi ini.

Nikmat dunia sementara

Sedangkan mereka yang berlumba untuk meraih apa yang disediakan oleh Allah SWT akan mampu mengangkat dan meninggikan darjat mereka. Sesungguhnya kenikmatan dunia itu hanya berlangsung sesaat dan sangat cepat menghilang.

Bagi yang ada di sisi Allah SWT akan kekal dan berterusan tanpa batas bertepatan firman-Nya yang bermaksud: "Apa yang di sisimu akan lenyap, dan apa yang ada di sisi Allah adalah kekal. Dan sesungguhnya Kami akan memberi balasan kepada orang yang sabar dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan." (Surah an-Nahl, ayat 96)

Terdapat dua perkara yang menjadi asas kepada kebaikan dalam pekerjaan iaitu amanah dan ikhlas. Sifat itu jika bersepadu dalam diri menjadikan seorang mukmin bekerja bukan sekadar untuk memperoleh gaji tetapi melihat pekerjaan sebagai amanah perlu dilaksanakan sebaiknya.

Muhasabah dan bertaubat

Dalam keghairahan bekerja, jangan lupa muhasabah dan bertaubat memperbaiki diri kerana keampunan Allah SWT adalah matlamat yang ingin dicapai setiap mukmin. Ia dapat dicapai dengan berlumba mencari kebaikan dan sentiasa memohon keampunan Allah SWT.

Sabda Rasulullah SAW: "Bersegeralah kamu mengerjakan amal soleh kerana akan berlaku fitnah seperti malam yang sangat gelita. Di dalam keadaan itu terdapat orang yang di sebelah paginya mukmin dan sebelah petangnya kafir, begitulah (sebaliknya) sebelah petang dia mukmin dan sebelah paginya kafir, dia menjual agamanya dengan kepentingan dunia yang sedikit." (Riwayat Bukhari)

Kesalahan terhadap Allah SWT tidak dapat dirawat melainkan memohon ampun kepada-Nya. Menjadi satu kewajipan kepada sesiapa yang terpesong dari jalan kebenaran bersegera kembali kepada Tuhannya tanpa bertangguh kerana peluang hari ini belum tentu ada pada keesokannya.

Penangguhan untuk melakukan perkara baik dan berfaedah bererti melanjutkan zaman kegelapan yang sepatutnya ditinggalkan segera. Keperluan taubat bukan untuk golongan tertentu bahkan mereka yang taat kepada Allah SWT juga perlu bertaubat.

* Penulis ialah Perunding Motivasi Islam Fitrah Power Resources.

Berita Harian X